Dadah, arak: Polis batalkan konsert di Litar Sepang
Polis menarik balik kelulusan penganjuran sebuah konsert dikatakan “festival muzik tempatan terbesar” di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 April depan atas kebimbangan ia menjurus ke arah aktiviti tidak sihat.
Ketua Polis Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata kebimbangan itu tercetus ekoran elemen muzik electro dance (EDM) itu sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan pengambilan alkohol.
“Sebelum ini, acara sedemikian yang pernah diadakan di beberapa lokasi lain didapati tidak mendatangkan sebarang aktiviti berfaedah.
“Selain mengundang penyalahgunaan dadah, kita dapat lihat acara seperti itu menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan serta pengambilan alkohol.
“Dan kebanyakan penonton perempuan yang hadir berpakaian mencolok mata,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Menurut Abdul Aziz, langkah itu diambil bagi mengelak kes kematian seperti yang pernah berlaku pada 2014 dalam konsert Future Music Festival Asia berulang.
Acara itu, KL Urban Music & Art Festival yang turut dikenali sebagai EDM Rockstar 2016 dianjurkan oleh Tower Rocks sebagai acara tahunan.
Desakan pembatalan konsert itu sebelum ini dibuat oleh seorang individu Eddy Casmady yang menggelarkan dirinya “aktivis BANGKIT” dan Pemuda Umno Sepang melalui laporan polis pada 23 Mac lalu.
Bantahan itu dibuat susulan dakwaan mengaitkan acara itu dengan masalah sosial.
Portal Says.com semalam melaporkan pembatalan kelulusan oleh polis Sepang dibuat melalui surat pemaklumannya kepada Majlis Perbandaran Sepang pada tarikh sama laporan polis diterimanya.
Penganjur tolak dakwaan negatif
Bercakap kepada Malaysiakini , pengasas Tower Rocks, Mohd Izwan Abdul Halim, 41, menolak dakwaan negatif terhadap konsert itu.
Malah, katanya, acara itu akan mengundang lebih ramai pelancong dan peminat muzik dari luar negara.
“Tujuan kami mengadakan persembahan seperti ini adalah untuk menaikkan bakat anak muda tempatan.
“Ini adalah platform untuk mereka mengembangkan bakat dalam industri tanah air. Siapa yang hendak membantu (industri muzik Malaysia) kalau bukan kita sendiri?” katanya.
Menurut Mohd Izwan, festival berkenaan turut membuka ruang kepada usahawan muda untuk memasarkan produk mereka.
“Pengunjung yang hadir tidak hanya disuapkan dengan muzik tetapi beberapa rekaan produk baru dihasilkan sendiri oleh anak muda tempatan seperti rekaan fesyen dan aksesori,” katanya.
Bagi Mohd Izwan, tuduhan berkenaan dianggap berat sebelah kerana mereka dipersalahkan tanpa maklumat yang sepatutnya.
"Mengapa pihak berkuasa tidak membatalkan aktiviti lain apabila membabitkan artis luar negara?
“Bukan tidak ada anak muda bertudung terkinja-kinja ketika melihat konsert artis Indonesia Sheila On 7 atau konsert artis Korea ExoluXion semasa ia diadakan,” katanya.
Kumpulan muzik terkenal Indonesia Sheila On 7 baru sahaja melangsungkan persembahan di hadapan kira-kira 8,000 peminatnya di ibu negara baru-baru ini.
Sementara itu Mohd Izwan berkata festival itu akan cuba dilangsungkan pada bulan depan namun belum dapat mengesahkantarikh dan lokasi baru.

