WAWANCARA Demi mengekalkan penampilan unik dengan menutup muka, anggota kumpulan muzik Kelembai terpaksa menjalani latihan untuk bertopeng supaya mampu bertahan dalam tempoh yang lama dengan imej tersebut.
"Bukan senang bro , nak pakai topeng dua tiga jam. Muka tak kena angin rimas juga, kami terpaksa berlatih untuk biasakan diri," kata Raoh yang juga pemain gitar bass.
Menurutnya, pada awal penampilan Kelembai melalui video rakaman yang dimuat naik di You Tube dan Facebook, mereka ambil masa satu hingga dua jam untuk latihan menutup muka.
"Macam saya tutup muka dengan baldi, saya pernah dua jam duduk di rumah dengan pakai baldi. Sambil tengok tv (televisyen), berehat dan lepak di rumah sebab nak biasakan diri.
"Sekarang cara berpakaian ini sudah biasa dengan kami dan peminat juga mula tertarik," katanya ketika ditemui Malaysiakini, Rabu lalu.
Ke mana sahaja mereka mengadakan persembahan, pemakaian penutup muka perkara paling utama walaupun perlu dipakai selama berjam-jam.
"Wajah kami tetap menjadi rahsia, kawan-kawan dan orangn sekampung pun tak tahu saya adalah anggota kumpulan Kelembai," kata Raoh.
Bakal melahirkan album sulong berjatuk 'Badut' tidak lama lagi, Kelembai berharap kewujudan mereka akan mendapat perhatian industri hiburan tanah air.
Mengulas mengenai album tersebut, Raoh berkata, Badut hanya memuatkan empat lagu baru hasil ciptaan dan gubahan ahli kumpulan sendiri.
"Rakaman album ini cuma dalam bentuk CD (cakera padat), mungkin selepas ini kita akan buat dalam bentuk VCD (cakera padat video) sekiranya permintaan menggalakkan," katanya.
Dengan moto 'muzik untuk rakyat', Kelembai turut dianggotai Buang (gitaris) , Tamin (gitaris) , Budin (drammer) dan Kuzie (vokalis) .
Minat berlakon
Sementara itu, Raoh berkata, Kelembai turut menanam hasrat untuk tampil sebagai pelakon sekiranya ada peluang yang ditawaran.
Katanya, jika ada tawaran tersebut untuk mengetengahkan bakat dan penampilan tersendiri mereka pastinya menjadi satu kejayaan besar.
"Sebelum ini ada tawaran untuk rakam video lagu kami sebagai lagu latar drama tv, atas beberapa sebab tawaran itu tidak tercapai.
"Tapi kalau pengarah macam Mamat Khalid ajak berlakon kami sangat berbesar hati. Apa saja arahanya kita ikut," katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun mereka tidak mahu memikirkan secara serius perkara-perkara besar, sebaliknya bergerak perlahan-lahan untuk berada dalam kelompok industri.
Sementara itu Buang berkata, pengalaman awal yang ditimba mereka melalui persembahan kecil-kecila menjadi pendorong untuk terus ke hadapan.
"Berdiri sepentas dengan artis ternama adalah pengalaman berharga kepada kami yang masih baru. Masih banyak yang perlu dipelajari dan ditimba.
"Melalui jemputan penganjur untuk sepentas dengan Bandi (Amuk), ahli kumpulan Search dan Band Putra pastinya memberi semangat kepada kami," katanya.
Menyedari perjalanan mereka masih baru di tengah kerancakan dunia hiburan tempatan, Kelembai tetap berharap semua pihak dapat memberi peluang kepada mereka untuk turut melebarkan bakat melalui bidang muzik.
