Siti terharu 7,000 peminat hadir konsert 2 dekadnya
Datuk Siti Nurhaliza menyatakan rasa terharunya dengan sambutan hangat peminat terhadap konsert sempena dua dekad pembabitannya dalam industri muzik tanah air, Sabtu lalu.
Dalam konsert “Datuk Siti Nurhaliza & Friends” di Stadium Negara, seramai 7,000 peminat dilapor hadir menikmati dendangan 20 lagu yang dipersembahkan dalam segmen muzik berbeza – secara akustik, bersama band dan orkestra.
"Saya berterima kasih kepada para peminat yang telah memberikan sambutan yang sangat hebat dan saya benar-benar terharu," kata Siti.
"Khas untuk para peminat yang saya sayangi yang telah memberikan sokongan sepanjang 20 tahun lepas dan persembahan pada malam ini ditujukan khusus untuk anda," tambahnya seperti dilaporkan Bernama .
Lagu-lagu penuh nostalgia seperti “Aku Cinta Padamu”, “Percayalah” dan “Cindai” dipersembahkan semula kepada peminat.
Siti turut dilapor 'berduet' bersama idolanya, Whitney Houston dengan lagu “Memories” dan memberi kejutan dengan merakam muzik video lagu tersebut bersama peminat.

