Terlalu menakutkan - itu penilaian Lembaga Penapisan Filem India terhadap filem Jungle Book yang mula ditayangkan di negara itu hari ini.

Menurut agensi berkenaan anggota panel mendapati kesan 3D serta bunyi filem arahan Jon Favreau itu boleh memberi kesan tidak baik kepada kanak-kanak.

Disebabkan itu, pihak berkenaan mengklasifikasikan Jungle Book sebagai filem yang mesti mendapat bimbingan dewasa jika ditonton seseorang berusia di bawah 12 tahun.

Secara kebetulan, Jungle Book juga mendapat klasifikasi sama di AS.

Pengerusi agensi penapisan filem India, Pahlaj Nihalani memberitahu Times of India , seperti amaran untuk menaiki roller coaster ibu bapa wajar membuat pertimbangan sama ada Jungle Book sesuai atau tidak untuk anak masing-masing.

"Ada imej haiwan melompat 'keluar' dari skrin (kerana kesan 3D) dan bunyi yang menggerunkan.

"Justeru, kami menyerahkan kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan sama ada ia sesuai atau tidak untuk anak mereka," katanya.

Cium tak boleh lama

Kata Pahlaj pihaknya bersedia mengkaji jika pengedar atau penerbit membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang rayuan diterima.

"Apabila orang ramai menonton filem itu, mereka akan faham kebimbangan kami," katanya.

Sumber pula memberitahu, aspek yang dikhuatiri lembaga penapis itu adalah kesan teknologi yang digunakan dalam filem berkenaan, bukan kandungan atau jalan ceritanya.

"Jika ia sekadar 2D, filem itu dikategorikan sebagai umum," katanya.

Keputusan berkenaan sekali lagi menjadian agensi itu sasaran kritikan peminat.

Sebelum ini agensi sama memendekkan tempoh paparan adegan bercium dalam filem James Bond, Spectre.

Jungle Book versi 2016 diterbitkan Walt Disney berdasarkan cerita asal wartawan dan penulis, Joseph Rudyard Kipling.

Ia membariskan suara ramai pelakon terkenal, termasuk Ben Kingsley, Lupita Nyong'o, Idris Elba, Neel Sethi, Bill Murray dan Scarlett Johansson.

Watak utama dipegang oleh kanak-kanak Neel Sethi - membawa watak Mowgli - yang mula berlakon pada 2013.