Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelakon dan pelawak Mr Os meninggal dunia pada jam tiga petang hari ini di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid meninggal dunia kerana masalah barah paru-paru.

Berita menyedihkan itu disahkan sendiri anak Mr Os, Husna, kepada Malaysiakini sebentar tadi.

“Ya, betul, ayah saya telah meninggal” katanya ketika menjawab soalan Malaysiakini .

Husna turut menyampaikan berita itu di Facebook beliau. Begitu juga seorang lagi anak perempuan Mr Os, Haryatie.

“Perginya seorang seniman Mohd Yusof bin Abdul Hamid @ Mr Os buat selama-lamanya. Allah beri hari yang terbaik, waktu yang terbaik di usianya 55 tahun.

“Kau ampunkan segala dosa-dosanya, kau tempatkan Abah di kalangan orang-orang yang beriman. Kita jumpa di sana Abah.

"Abah pergi dengan tenang dan berwuduk selepas solat tadi. Kami semua sayangkan Abah,” tulisnya.

Mr Os memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Pada tahun 1990, beliau dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM) di Festival Filem Malaysia ke-9 menerusi lakonannya sebagai pemuda autisme dalam filem Adik.

Beliau juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di FFM iaitu menerusi filem Mr Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Pencapaiannya yang terkini, menerusi rancangan Maharaja Lawak Mega 2011, Mr Os yang bergandingan dengan Abon sebagai kumpulan Osbon menjuarai rancangan itu dan memenangi wang tunai RM350,000.

Lihat Komen
ADS