Tidak mudah untuk menghiburkan seseorang, apa lagi membuat mereka ketawa.

Justeru penerbit Lawak Ke Der 2016, Datuk Hans Isaac mengakui dia perlu menjadi seorang yang cerewet untuk menilai penghibur yang akan dipersembahkan di di Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei ini.

Pemilihan itu katanya perlu mengambil kira pelbagai faktor terutama keupayaan seseorang pelawak dalam memastikan ia bersesuaian dengan 'pasaran', sementelah pula ia adalah edisi kelima dipertontonkan.

“Bagi meneruskan kelangsungan persembahan Lawak Ke Der , saya terpaksa menjadi seorang yang mementingkan kualiti khususnya pelawak yang bakal beraksi di atas pentas.

“Setiap nama pelawak itu dicadangkan, saya melihat dan membuat penilaian sendiri sebelum bersetuju menampilkan mereka di Istana Budaya.

“Hal demikian perlu sebab sekiranya seorang pelawak ‘jatuh’ (gagal menghiburkan penonton), ia akan menjejaskan pelawak lain,” katanya.

Cuma setahun sekali

Hans ditemui semasa sidang media mengumumkan program itu di Istana Budaya kelmarin.

Ia adalah edisi kelima Lawak Ke Der selepas persembahan terdahulu mendapat sambutan begitu memberangsangkan. Mengikut rekod Istana Budaya, tiket jualan bagi acara tahunan itu memang laris dijual.

Tahun ini Lawak Ke Der menampilkan Harith Iskander, Douglas Lim, Afdlin Shauki, Rayza Mukmin, kumpulan Bocey, Jihan Muse, Sherry Alhadad, dan Shuk Balas.

Tugas pengacaraan pula digalas Nabil Ahmad ( gambar ).

Menurut Hans, penonton tidak perlu bimbang sekiranya ada yang beranggapan persembahan komedi kali ini akan menjemukan.

“Kami membuat acara ini hanya setahun sekali dan sememangnya bersungguh-sungguh untuk memastikan idea yang dipersembahkan berlainan daripada apa yang ada sebelum ini.

“Untuk itu, saya juga mengarahkan pelawak mengikut syarat iaitu tidak mengulang idea jenaka sama,” katanya.

Bagi menjaga sensitivi pula, Hans berkata, dia sendiri akan menjadi pemerhati di belakang tabir.

Katanya, tugas itu turut dikongsi bersama oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

“Saya memastikan pelawak tidak menyentuh isi berkaitan agama dan sensitiviti kaum bagi menjaga adab budaya dan masyarakat.

“Selain itu pelawak juga dilarang menyentuh atau menyindir mana-mana individu yang mungkin dianggap kontroversi,” katanya.