Karya 12 mahu bawa nafas baru perfileman negara
Enam pengarah dan penuntut jurusan seni perfileman bergabung menghasilkan filem televisyen boleh memberi anjakan baru kepada industri perfileman yang kian kompetitif.
Menerusi insiatif Karya 12 , graduan terbabit bekerjasama dengan pengarah untuk melahirkan idea masing-masing dan ditampillkan melalui program berkenaan.
Julung kali diadakan Astro Citra, Karya 12 bermatlamat membawa anjakan baru kepada industri perfileman semasa.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata pihaknya terpanggil untuk memberi peluang dan pada masa sama menggilap bakat baru untuk memperkasa industri seni tanah air.
“Inisiatif itu merangkumi bidang lakonan, pengarahan, penulisan skrip, kandungan, sinematografi, animasi, kreatif dan sebagainya.
“Bermula dari belakang tabir, pelajar yang mengikuti Karya 12 boleh mencipta nama besar dan menjadi individu disegani dalam industri,” katanya.
Gilap bakat baru
Pencarian bakat baru untuk Karya 12 bermula sejak November 2015 hingga Januari lalu di enam institut pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Multimedia.
Kesemua institusi berkenaan menawarkan jurusan seni filem dan media.
Untuk mencari graduan berbakat kreatif, beberapa proses dijalankan dan enam pengarah memilih enam karya calon yang dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan.
Dari situ, enam pengarah terbabit meneruskan usaha mereka untuk menggilap bakat baru dan membantu pelajar pilihan masing-masing.
Mereka bukan setakat menjadi mentor bahkan menghasilkan karya sendiri, menjadikan jumlah kesemua filem televisyen yang akan dihasilkan sebanyak 12 naskhah.
Barisan pengarah yang terlibat adalah Yusry Abdul Halim, Osman Ali ( gambar ), Sabri Yunus, Bernard Chauly, Michael Ang dan Ghaz Abu Bakar.
Manakala enam pelajar yang terbabit menjayakan Karya 12 ialah Wan Mohd Rafiq Shamsul Kamal, Mohamad Safwan Mohd Salleh, Mohd Shafiq Shamsul Ariffin, Amirul Nasrullah Kamarulzaman, Chen Yong Jiam, dan Syahrin Zainurin.
Filem Televisyen yang akan dipertontonkan akan dibintangi oleh artis seperti Beto Kusyairy, Remy Ishak, Fathia Latiff, Bront Palarae, Nur Fazura, Nabila Huda, Fizz Fairuz, Nora Danish, Tya Ariffin dan ramai lagi.
Ia akan mula bersiaran jam 10 malam pada 30 April ini melalui saluran Astro Citra dan Mustika HD.

