Daripada berasa sakit hati dan terluka dengan pelbagai masalah semasa, elok juga perhatian kita dialihkan sementara kepada lawak jenaka.
Itu cadangan pelawak Harith Iskander, 50, ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.
“Bagi saya, ada beberapa sebab kita perlu ketawa khususnya untuk membawa hal positif dalam kehidupan.
“Seandainya kita tidak ketawa, fikiran akan hanya tertumpu kepada masalah ekonomi yang sedang melanda negara ini.
“Akibatnya, hal itu akan membuat kita berasa sakit hati lalu berduka,” katanya yang ditemui selepas sidang media pengumuman Lawak Ke Der 2016 di Istana Budaya baru-baru ini.
Tahun ini Lawak Ke Der menampilkan Harith Iskander, Douglas Lim, Afdlin Shauki, Rayza Mukmin, kumpulan Bocey, Jihan Muse, Sherry Alhadad, dan Shuk Balas sebagai barisan pelawak.
Nabil Ahmad akan turut menyertai persembahan tetapi sebagai pengacara.
Justeru, Harith berpendapat, faktor kelembapan ekonomi membuatkan nilai ketawa lebih mustahak berbanding 20 tahun yang lalu.
Pun begitu, Harith menyatakan dia bukanlah seorang pakar untuk dirujuk khususnya perihal ekonomi mahupun sosio politik.
Tetapi pendapatnya itu diluahkan secara umum dan sebagai seorang individu yang menjadi warganegara ini.
“Nilai matawang Malaysia berbanding negara jiran Singapura jauh ketinggalan kerana merosot.
“Berbanding tahun lepas kadar wang RM1.50 yang ditukar kepada dolar Singapura, hasilnya kita akan peroleh 1 dolar.
Disebabkan kebanyakan rakyat mulai terjejas dengan situasi semasa, beberapa pihak cuba mendapatkan bantuan Harith untuk mengadakan persembahan secara percuma.
Kata Harith, permintaan itu dibuat menerusi kiriman email yang diberikan kepadanya.
“Setiap hari, saya menerima sekurang-kurangnya lima hingga 10 email daripada pihak yang mahu saya buat persembahan kebajikan.
“Perkara itu membuatkan saya bersedih kerana dengan kudrat ini, saya tidak dapat membantu kesemuanya.
“Ramai yang meminta pertolongan dengan keadaan ekonomi yang dihadapi sekarang.
“Tetapi saya tahu, negara kita sedang berjuang dan mungkin satu hari nanti boleh lepasi keadaan sukar ini,” katanya.
