Hidup dalam suasana seolah-olah 'peraturan berkurung' penyanyi yang terkenal dengan lagu Lepaskan, Wanna Ali, berasa dia benar-benar disayangi.
Dengan peraturan ketat ditetapkan ibu bapanya Wanna masih mampu menjadi seorang anak yang bertanggungjawab kepada orang tua ketika bersosial, menyertai aktiviti seni atau menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Semuanya kerana prinsip bertolak-ansur yang diamalkan sesama mereka.
Wanna yang juga seorang graduan yang masih mengikuti pengajian dalam jurusan perniagaan dan pengurusan di Universiti of Nottingham kampus Semenyih, Selangor mengakui dirinya akur bukanlah kerana terpaksa.
Dia sebaliknya merelakan hal itu malah berasakan ia adalah pilihan terbaik buat masa ini, memandangkan usianya yang masih agak mentah.
Jadi duta produk ibu
Justeru, Wanna atau nama asalnya Nor Syazwana Mohd Ali, 19, tidak kisah jika tiada lelaki yang menambat cintanya buat masa ini.
“Pernah satu ketika dulu saya hanya ingin menghadiri majlis makan malam bersama rakan-rakan sekuliah tetapi bapa tetap bertanyakan sama ada ia dihadiri oleh penuntut lelaki atau tidak - begitulah risaunya dia.
“Saya juga diminta pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam setiap kali keluar - seperti Cinderella pun ada," katanya selepas sidang media pelancaran lapan produk Opiel Secrets di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Di majlis berkenaan, Wanna dilantik sebagai duta produk syarikat yang ibunya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Opiel Secrets, Datuk Normashayu Puteh.
Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, bapanya seorang yang tegas malah lebih suka dia mengehadkan masa di luar rumah.
Ia memang tidak membawa sebarang masalah kepada Wanna kerana setakat ini lelaki yang mendekatinya masih dianggap sekadar rakan biasa.
Azam kembali aktif
Pada masa sama, katanya, dia tidak bercadang mengikuti jejak ibu yang berkahwin pada usia muda.
"Biarlah pada umur 22 tahun nanti baru saya fikirkan soal itu,” katanya.
Kata Wanna, dia berpendapat bapanya seorang yang tegas, malah lebih suka dia tidak terlalu kerap keluar rumah.
“Namun, dalam soal kerjaya pula, ketika bersekolah ibu dan bapa tidak akan melepaskan saya begitu saja sendirian ke lokasi penggambaran misalnya. Pasti ibu turut menemani," katanya.
Selepas menyepi seketika, Wanna kini berazam mahu kembali aktif dalam dunia seni.
Peluang besar menceburkan diri dalam bidang seni rupa-rupanya sering disalah tafsir oleh segelintir pihak yang mengaitkannya dengan nama ibunya.
Selain mengusahakan Opiel Secrets, ibu Wanna turut menguruskan syarikat produksi Pencil Pictures & Records.
Namun, dengan tenang Wanna menjawab setiap persoalan yang dikemukakan terhadapnya itu.
“Anak dia seorang daripada pengguna produk, jadi mengapa perlu dia menggunakan khidmat orang lain sebagai pemberi testimoni?
“Ibu juga sering memberitahu dia mahu mengetengahkan bakat saya kerana berpendapat lebih baik berhabis wang dengan darah daging sendiri yang boleh menyanyi.
“Dia juga tahu minat saya begitu mendalam terhadap nyanyian dan lakonan," katanya yang pernah berlakon dalam filem Aku Ada Kau Ada dan Tokan.
Tahun lalu Wanna pernah muncul bergandingan dengan penyanyi rap, Juzzthin dengan lagu Tak Mengapa. Single kelima Wanna, Jika Kau Benar pula dijangka keluar tidak lama lagi.
Ia dijangka menjadi satu daripada lima lagu yang akan dimuatkan dalam album pertama Wanna nanti.
Pun begitu Wanna tidak mengambil mudah aspek berkenaan. Walaupun mendapat kelebihan daripada ibunya, dia sedar bakatnya perlu digilap dari semasa ke semasa.
"Dan untuk itu setiap peluang yang datang saya ambil,” katanya.
