Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Syarikat penerbit buku Fixi melalui label terbaru, Grafixi, berharap hak terjemahan yang diberikan DC Comics kepada mereka boleh memberi faedah kepada peminat komik luar untuk menikmati bahan bacaan yang sebelum ini dijual pada harga agak tinggi.

Pengasas Fixi Amir Muhammad sendiri sememangnya menjadi sebahagian daripada peminat tegar komik dan hobi itu mula ‘melekat’ sejak dia di zaman remaja lagi.

Namun minat sebegitu sedikit terhalang sementelah mendapati harga komik luar yang semakin hari semakin meningkat.

“Banyak faktor membuatkan saya tidak lagi terkejar-kejar untuk mendapatkan senaskhah komik.

“Antaranya adalah saya kini lebih menjurus ke arah pembelian novel dan buku ilmiah.

“Selain itu, harga untuk komik import seperti yang kami edarkan pula boleh mencecah hingga lebih RM70 senaskhah,” katanya kepada Malaysiakini .

Minggu lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan DC Comics menjual hak terjemahan kepada Fixi - sebuah syarikat penerbitan terkenal di negara ini.

Proses hampir setahun

DC Comics Inc diasaskan Malcolm Wheeler-Nicholson pada 1934 dan menjadi unit penerbitan DC Entertainment - syarikat yang dimiliki Warner Bros Entertainment.

Sebagai peminat kisah adi wira yang kebanyakannya datang dari terbitan DC Comics, Amir berasa dia perlu menjual sesuatu yang menjadi sebahagian daripada hobinya.

Kata Amir tujuan dia mendapatkan hak menterjemah daripada DC Comics adalah untuk membuka peluang lebih besar kepada pembaca tempatan yang tidak dapat membeli komik luar secara kerap.

Dan untuk berbagi kegembiraan itu, Amir berkata dia perlu melalui beberapa proses yang mengambil hingga berbulan lamanya.

“Proses itu perlu dijalani hampir setahun termasuk menghadiri mesyuarat di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt di Jerman tahun lepas.

“Dari segi perbelanjaan pula, itu biarlah rahsia, tetapi ia adalah kos yang paling banyak pernah kami laburkan untuk mana-mana projek buku,” katanya.

Untuk edisi awal terjemahan, ia dimulakan dengan kisah-kisah Batman / Superman : Public Enemies yang dikeluarkan dengan 160 muka surat.

Judul kedua boleh didapati di pasaran adalah Supergirl dengan ketebalan 168 muka surat.

Selain itu, ada empat lagi judul yang bakal diterbitkan juga pada tahun ini iaitu Superman / Batman #3: Absolute Power, Superman / Batman #4: Vengeance New Suicide Squad dan Justice League Volume 1: Origin.

Untuk menghasilkan komik terjemahan, Amir berkata dia mengambil berat aspek konteks bahasa dan cerita agar ia dapat diterjemah sebaik mungkin serta mengelak membawa makna yang tidak lari dari erti sebenar.

“Kami memilih penterjemah yang berpengalaman dan hasilnya pula nanti akan diawasi oleh seorang editor.

“Mereka bukan saja memahami konteks bahasa asal tetapi alam DC Comics itu sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS