Katakan, Harris bukan Zayn Malik
Tidak mahu dituduh hanya mempertaruhkan paras rupa, pendatang baru dalam industri muzik Harris Baba mahu memanfaatkan semaksimum mungkin anugerah yang ada untuk berjaya.
Meskipun nama Harris, 25, masih asing di negara ini, namun aksinya memetik gitar sambil menyanyi di Instagram mulai berjaya menambat hati ramai. Dan bilangan itu pula semakin bertambah.
Dengan wajah dikatakan mirip bekas anggota One Direction Zayn Malik, seboleh mungkin Harris - penyanyi berdarah kacukan Pakistan, Iran dan Cina itu - mahu menjauhkan diri daripada persepsi negatif umum bahawa seseorang yang memiliki rupa menawan tidak semestinya berbakat.
“Sudah tentu wajah membantu populariti seseorang untuk berjaya dalam dunia hiburan. Saya bersyukur dengan anugerah yang dimiliki, tetapi siapalah saya jika tiada bakat boleh diketengahkan.
“Justeru, saya mahu dikenali menerusi bakat, bukan kerana faktor lain,” katanya kepada Malaysiakini.
Harris ditemui di majlis pelancaran single sulungnya Katakan di Ibu Pejabat Warner Music Malaysia Sdn Bhd di Petaling Jaya baru-baru ini.
Mahu berdiri teguh berdasarkan bakat memang menjadi azam Harris untuk memastikan kerjayanya dapat bertahan lama.
Bukan sekali, tetapi berkali-kali wajahnya dikatakan seperti Zayn. Malah dakwaan itu sukar pula untuk ditepis.
Harris memang mahu mengelak tanggapan itu walaupun tahu ia secara tidak langsung dapat melonjakkan popularitinya di kalangan artis sedia ada.
Pada masa sama, Harris mengakui dilabel dengan wajah yang sama dengan artis lain sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya. Ia pula mungkin menjejaskan kariernya pada masa depan.
Bawa tema cinta
“Ya pada mulanya saya boleh menerima hal itu (disamakan dengan Zayn) tetapi lama-kelamaan ia menjejaskan mood.
“Wajah saya digelar seperti Zayn sebaik kemunculan saya di program realiti pada tahun 2013 di Singapura tetapi akhirnya saya tidak menggemari perkara itu, malah ia hanya membuatkan saya kelihatan bodoh,” katanya.
Menurut Harris dia mengalami sendiri pengalaman disangka Zayn di negara asalnya suatu ketika dulu.
Sementara itu mengenai Katakan, lagu itu dicipta bersama oleh Faizal Tahir yang berkolaborasi dengan Mike Chan dan Ezra Kong.
Ia membawa tema percintaan.
Menceritakan detik dia ditawarkan menjadi anak didik Faizal, percaturan itu katanya bukanlah semudah disangka.
Menurut Harris, percubaan itu pada mulanya dianggap tidak akan mendatangkan sebarang hasil.
Namun, disebabkan Harris begitu mengagumi karya dan pencapaian Faizal, dia mengambil keputusan untuk menunggu seketika sebelum beralih kepada pilihan lain.
“Ia memerlukan keberanian sebelum saya menulis mesej kepadanya menerusi Instagram, dan kira-kira dua minggu selepas itu barulah dijawab.
“Ia hanya cubaan berdasarkan nasib saja, dan saya pula tidak meletak harapan tinggi kerana ketika itu ada beberapa pihak turut menawarkan peluang. Cuma saya belum memberi kata putus kerana mahu mencuba nasib dengan Faizal.
“Faizal akhirnya menawarkan kontrak selama dua tahun dan syukur kerana saya sememangnnya amat meminati beliau sejak dulu.” katanya.
Sebelum mencuba nasib di Malaysia Harris pernah menyertai program berkonsepkan nyanyian The Final 1 di Singapura pada 2013, namun hanya sempat tersenarai dalam senarai 40 finalis.
Selain menyanyi Harris juga menceburi bidang lakonan dan peragaan. Setakat ini, Harris sudah membintangi dua teledrama iaitu Alien Planet Cinta dan Cinta Viral yang turut dibintangi oleh Elfira Loy.
Sebagai permulaan untuk buah tangan pertama Harris, lirik Katakan telah disiarkan menerusi YouTube sejak 25 Mac lalu. Dalam masa sebulan, klip video itu mencapai hasil memberangsangkan apabila ditonton kira-kira 200,000 kali.

