Bukan mudah memiliki kehidupan sebagai seorang selebriti kerana ruang yang biasanya milik peribadi kadang-kadang menjadi ‘sempit’ dengan adanya penggunaan meluas media sosial.

Teknologi yang sepatutnya menghubung dan mengakrabkan sesama manusia kini semakin kerap menjadi alat perosak hubungan.

Itulah harga harus dibayar pelakon muda Nazrief Nazri selepas dia menjejakkan kaki dalam dunia hiburan.

“Saya tidak faham motif pihak yang sering menujukkan gambar lucah dan mesej berbaur seks kepada saya.

“Kebiasaannya, apabila diperiksa mesej itu datangnya daripada pemegang akaun palsu, atau mungkin juga ia daripada lelaki yang bernafsu kepada lelaki," katanya.

Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, ditemui di tayangan perdana filem pendek Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini Nazrief muncul dalam beberapa drama tempatan seperti Suami Sebelah Rumah, Cinta Ilahi, Tanah Kubur, Lari Mira, Hidayahmu Ramadan dan terbaru, Demi Cinta Ain.

Tak mahu balas

Walaupun 'digoda' mesej berbaur lucah begitu Nazrief tidak pula cepat melatah malah mengambil pendekatan yang dirasakan terbaik bagi mengelakkan ia menjejaskan kerjayanya sebagai pendatang baru.

“Saya rasa pihak yang menghantar gambar dan mesej begitu hanya mahu mencari publisiti dan meraih perhatian.

“Jika saya layan, lagilah mereka akan menjadi-jadi dan yang menanggung akibat adalah saya.

“Jadi, lebih baik saya tidak membalas apa-apa. Jika mereka terlalu agresif, menjengkelkan saya block (sekat),” katanya.

Apabila ditanya mengenai lembaran hitam pernah terpalit pada dirinya, seakan nampak kekesalan di wajah Nazrief dan dia berharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Sebelum membabitkan diri sepenuh masa dalam dunia lakonan, Nazrief berjinak-jinak dalam bidang peragaan walaupun ketika itu masih menuntut di sebuah universiti tempatan.

Alasannya, dia perlu menimba pengalaman di samping mencari wang saku.

Tetapi, pembabitan itu 'memerangkap' apabila Nazrief dirakam menggayakan pakaian dalam di sebuah pertunjukan fesyen. Imej itu kemudian tersebar meluas di media sosial.

“Sebaik tiba di lokasi pertunjukan, saya tidak menyangka harus menggayakan pakaian renang tetapi terpaksa akur kerana sudah menandatangani kontrak," katanya.

Ekoran insiden itu Nazrief bertekad untuk lebih berhati-hati dalam kerjayanya.

“Ia cerita lama. Saya yang sekarang tidak boleh disamakan dengan yang dulu," katanya.

Dia juga berazam lebih berwaspada selain menjadi insan yang lebih baik.

“Saya juga ada membabitkan diri dalam beberapa program keagamaan. Saya bukan mahu mengajar sesiapa sebaliknya berharap kita dapat berkongsi ilmu.

“Apa yang penting, saya sentiasa cuba memperbaiki diri walaupun tahu saya tidak sesempurna mana,” katanya.