Pengarah dan penerbit yang terikut-ikut dengan kecenderungan mengambil pelakon muda berdasarkan jumlah pengikut mereka di media sosial bakal menjahanamkan industri perfileman, ramal aktres veteran Emma Thompson.

Kata Emma satu daripada kebimbangan terbesarnya ketika ini ialah pemilihan seseorang pelakon dipengaruhi oleh jumlah pengikut di media sosial mereka.

Menurut pelakon filem Howards End itu kriteria berkenaan menjadi pilihan kerana penerbit dan pengarah boleh memanfaatkan pengikut media sosial seseorang artis.

"Seseorang pelakon kini begitu dipengaruhi keadaan media sosial mereka dan saya fikir ia suatu petaka," katanya.

Emma, 57, bercakap di majlis meraikan selebriti British yang pernah memenangi Anugerah Academy di London kelmarin.

Majlis itu dihoskan Putera Charles di Istana St James.

Turut diraikan, Maggie Smith, Judi Dench, Colin Firth dan Jeremy Irons.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman Emma memenangi Oscar sebanyak dua kali, iaitu sebagai pelakon wanita terbaik - melalui Howards End (1992) - dan adaptasi lakon layar terbaik - melalui Sense And Sensibility (1995).

Sementara itu Judi, 81, menyuarakan kebimbangannya terhadap kekurangan dana bagi melatih pelakon muda.

"Saya rasa keadaan itu sangat membimbangkan kerana kos latihan begitu mahal.

"Saya menerima banyak surat daripada pelakon baru yang mahu memasuki sekolah lakonan tetapi gagal kerana kekurangan dana," katanya.

Walaupun pernah dicalonkan sebanyak tujuh kali, Judi hanya pernah memenangi Oscar sekali, iaitu untuk kategori pelakon wanita pembantu terbaik, melalui filem Shakespeare In Love.

Lebih 300 warga British dianugerahi Oscar sejak 45 tahun lalu.