Memang ramai yang terkejut melihat perubahan pada aktres popular dan isteri kepada Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari baru-baru ini.
Tidak seperti biasa, Bunga kelihatan lengkap bertudung dan kellihatan lebih ayu daripada biasa.
Kata Bunga, sebaik saja mengenakan tudung dia berasa suatu perubahan dan pengalaman berbeza dari sebelum ini.
Malah, kata Bunga, 'perubahan' itu turut disenangi suaminya.
"Ada teman yang terkejut, tapi sejujurnya saya sendiri - selepas melihat di cermin - berasa senang berjilbab," katanya dilapor tempo.co hari ini.
Bagaimanapun Bunga versi bertudung itu hanyalah keperluan untuk aktres berusia 33 tahun itu beraksi di depan lensa kamera.
Dia membawa watak Raina dalam filem Jilbab Traveler: Love Sparks in Korea hasil diadaptasi novel Asma Nadia.
Dalam filem itu Bunga berlakon sebagai gadis pengembara yang bertudung. Walaupun bertema cinta, hubungan pasangan kekasih dalam filem itu tidak bersentuhan secara fizikal.
Ia menjadikan penggambaran filem itu berbeza berbanding filem cinta sebelum ini.
Jilbab Traveler: Love Sparks in Korea menceritkan perjalanan Raina - gadis yang kuat berpegang pada agama - bertemu lelaki Korea Selatan (lakonan Morgan Oey).
Kata Bunga, apabila mengenakan tudung dia seakan-akan menjadi "manusia lain" yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.
"Rainan bukan Bunga Citra Lestari. Sebaik saja saya berlakon, saya bukan Bunga Citra Lestari lagi, saya adalah Raina," katanya.
Namun di dunia realiti Bunga berpendapat belum sampai masa untuk dia bertudung seperti sesetengah selebriti lain.
"Masih ada banyak proses sebelum saya sampai ke tahap itu," katanya.
