Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Trump tidak akan berjaya jadi presiden'
Diterbitkan:  May 13, 2016 7:35 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Tidak mungkin Trump menang - itu keyakinan disuarakan pelakon George Clooney mengenai cubaan hartawan AS Donald Trump menjadi presiden.

Dikenali sebagai antara tokoh yang kuat menyokong Hillary Clinton, pelakon yang pernah memenangi dua Anugerah Academy itu berkata ketakutan tidak akan dapat menarik hati ramai orang.

"Tidak akan ada Presiden Donald Trump," katanya kepada media di Cannes semalam.

Clooney berada di bandar pinggir laut di Perancis itu untuk menghadiri Festival Filem Cannes yang sedang berlangsung sehingga 22 Mei ini.

Dia juga mempromosi filem terbaru lakonannya bersama pemenang dua Oscar bagi kategori pelakon wanita terbai, Jodie Foster, dalam filem Money Monster.

Dalam filem itu Clooney membawa watak pakar perunding kewangan, Lee Gates, dijadikan tebusan seorang pelabur yang kehilangan segala-galanya kerana nasihat diberikannya.

Turut berlakon, seorang lagi pemenang Oscar, Julia Roberts.

Menakut-nakutkan ramai

Dalam politik, Clooney aktif terbabit dalam kempen mengumpul dana untuk kempen Hillary, 68, yang sedang bersaing dengan Bernie Sanders untuk menjadi calon parti Demokratik dalam pilihan raya presiden AS akhir tahun ini.

Hillary adalah bekas wanita pertama AS untuk tempoh 1993 hingga 2001.

Dalam kempen menjadi calon Republikan Trump mengambil pendekatan kontroversi dan berseteru dengan pelbagai pihak, termasuk masyarakat Islam dan imigran Mexico.

Kata Clooney, 55, Trump tidak akan memenangi pilihan raya presiden negara itu.

"Ketakutan bukan sesuatu yang diperlukan untuk membangunkan negara. Kita tidak akan ditakuti orang Islam, pendatang asing atau wanita.

"Kita sebenarnya tidak takutkan apa-apa," katanya.

Bulan lalu Clooney dan isterinya Amal, 38, menganjurkan beberapa majlis pungutan derma di Los Angeles dan San Francisco bagi membantu Hillary.

Amal - peguam berdarah kacukan British dan Lubnan - dikenali sebagai peguam yang gigih mempertahankan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Kata Clooney Trump adalah 'produk' yang terlahir daripada pertembungan berita dan hiburan - sama seperti kisah dipaparkan dalam filem "Money Monster."

"Trump sebenarnya tokoh yang lahir daripada program berita yang menyiarkan laporan susulan serta dihadapkan dengan soalan-soalan sukar.

"Menyiarkan berita 24 jam sehari tidak semestinya membuat anda tahu lebih banyak maklumat, sebaliknya anda mendapat lebih banyak berita tetapi ia adalah berita yang sama.

"Semakin banyak anda mendengar berita tentang lelaki itu (Trump), semakin tinggi popularitinya," kata Clooney.

Lihat Komen
ADS