Penyanyi Akim Ahmad mempunyai cara tersendiri dalam usahanya menenangkan rasa gemuruh mungkin melanda Hafiz Suip sejurus sebelum menamatkan zaman bujangnya pagi tadi.

Dengan nada bergurau, Akim memberi pesan kepada Hafiz: “Ingat Fiz, lepas halal, jangan gopoh sangat ramai orang ni."

Akim sendiri tentu memahami apa yang dirasai Hafiz kerana pengalaman itu baru saja dilaluinya sendiri.

Pada 5 Februari lalu Akim selamat diijabkabulkan untuk menjadi kepada suami Ummu Syaikhah Stacy Abdullah atau Stracie Angie Annam.

Melalui akaun Instagramnya Akim menulis: “Bergambar sebelum nikah. Ingat Fiz, lepas halal, jangan gopoh sangat ramai orang ni. Selfie last sebelum bergelar suami orang."

Status itu turut dimuat naik bersama hashtag #hafizlagi10minittakbujangdah.

Dalam gambar penyanyi yang terkenal dengan lagu Awan Nano itu dia kelihatan mengukir senyuman lebar sambil menunjukkan tiga jari yang memakai inai.

Menerusi semakan Malaysiakini gambar itu hingga petang ini ia mendapat hampir 11,000 like.

Hafiz, 26, selamat bergelar suami kepada Nureffy Jasreel Abdullah, dengan sekali lafaz.

Majlis diadakan di kediaman pengantin perempuan di Kuching Sarawak kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pernikahan itu berlangsung dengan mas kahwin sebanyak RM120.

Bekas peserta realiti program nyanyian Akademi Fantasia ketujuh itu dinikahkan oleh Kasdinata Fauzi dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Hafiz dan Nureffy sebelum ini mengikat tali pertunangan - selepas dua tahun mereka bercinta - di majlis yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching pada 27 Februari lalu.

Tarikh 27 Februari adalah tarikh lahir Hafiz yang ke-25, manakala majlis perkahwinan hari ini mengikut hari kelahiran Nureffy.