Isham penghasut melawan penindasan dengan seni
Hishamuddin Rais yang diburu Akta Hasutan 1948 adalah rakyat Malaysia yang unik. Isham bukanlah hanya aktivis politik, tetapi juga pengarah filem dan tukang teater.
Kalau kita mahu bercakap tentang Isham, biarlah bukan sebagai tahanan politik saja, tetapi juga sebagai seniman politikal.
Ketika politikus dan aktivis - lama atau baru - masih lagi hanya berceramah dan berforum sebagai wadah menyampaikan pandangan, Isham terlebih dulu mengambil langkah perubahan (reform) ketika menyampaikan pandangan politiknya.
Isham telah membawakan pendekatan yang lebih kreatif, segar dan bertenaga.
Sejak zaman reformasi 1998, Isham telah mengajar kita bahawa teater juga wadah dalam menyampaikan pandangan politik. Selain menggiatkan teater jalanan (street theatre) untuk membawa seni itu kepada rakyat.
Tok Ampoo, Tok Slow, Bilik Sulit, Bilik Kabinet dan Tahaluf Siasi Muang Thai adalah antara naskah teater tulisan Isham yang pernah dipentaskannya di merata tempat sama ada dalam mahupun luar negara.
Teater lebih dari jenaka
Setiap naskah mempunyai warna dan coraknyanya sendiri, merangkumi pelbagai genre, daripada komedi, tragedi hingga ke absurd.
Jika sebelum ini kita menganggap bahawa peranan teater dalam propaganda politik hanya picisan, bahan jenaka atau sekadar memeriahkan program politik, Isham membuka pemikiran kita untuk memahami bahawa peranan teater dalam politik dan masyarakat lebih daripada itu.
Berdasarkan pendekatan berpolitik melalui teater, Isham memberi makna baru kepada seni politik Malaysia. Keupayaan Isham menggabungkan seni dan politik memberikan masyarakat Malaysia pengalaman berinteraksi dalam kempen politik secara langsung.
Kempen kesedaran politik kepada masyarakat bukan hanya sekadar kata-kata berbentuk ucapan malah dipertontonkan dan lebih dirasai khalayak.
Itu jelas dapat dilihat ketika kumpulan Teater Bukan Teater membawa Teater Bilik Sulit menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia dalam kempen politik mereka melawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar 2005 hingga 2015.
Setiap kali selepas pementasan, penonton pasti mengemukakan soalan selain memberi pandangan atau kritikan (positif serta negatif) kerana terkesan dengan persembahan berkenaan.
Hal itu mewujudkan ruang perbincangan yang baik bagi mengikat persefahaman politik antara pembuat kempen (Teater Bukan Teater) dengan penontonnya dan pada masa sama menggalakkan khalayak berinteraksi.
Teater Bukan Teater
Teater Bukan Teater adalah kumpulan teater diasaskan oleh Isham. Kumpulan teater ini adalah sebuah kolektif seni yang tidak bermotiskan keuntungan kerana tujuan utamanya adalah untuk membawa perspektif politik, bukannya laba atau populariti. Teater Bukan Teater adalah sebuah pergerakan seni yang politikal.
Daripada mahasiswa, anak muda, profesional, aktivis politik mahupun penggiat teater sendiri pernah menyertai kumpulan teater ini. Melalui Teater Bukan Teater, Isham berjaya membentuk satu ikatan luas antara ahli-ahlinya secara kreatif untuk mencapai cita-cita bersama iaitu melawan penindasan.
Semasa proses latihan dijalankan, Isham sentiasa melatih kumpulan ini untuk mempunyai keyakinan diri berdepan khalayak. Ia diterap melalui latihan membentuk posture, gesture, perwatakan dan juga vokal dan pengucapan bagi membentuk keberkesanan watak.
Sedar tidak sedar, melalui teater, Isham cuba melatih anak muda untuk berani bersuara.
Teater Untuk Malaysia
Teater moden Malaysia yang selama ini dengan khayalan dan angan-angan telah ‘disedarkan’ peranannya kepada masyarakat - terima kasih kepada Isham.
Jika sebelum ini teater hanya dinikmati oleh golongan elit, Teater Bukan Teater membawa seni persembahan itu kepada masyarakat terbanyak. Jika sebelum ini teater hanya hiburan, Teater Bukan Teater menjadikan teater sebagai alat komunikasi massa.
Kehadiran ramai orang sama ada di dalam atau luar negara menyaksikan naskhah Isham membuktikan pendekatan teater dalam politik dibawanya memberi kesan.
Persoalan mengenai maksud mereka menonton teater atau menyokong politiknya tidak menjadi masalah kerana Isham mempersembahkan kedua-duanya dengan baik. Yang lebih penting adalah keberkesanannya mewujudkan masyarakat yang sivil.
Kepada rakyat Malaysia terutamanya penggiat, peminat atau pelajar teater, sedarlah kita tidak dapat menolak dan perlu menghargai bahawa karya teater Isham memberikan penanda aras dan impak positif kepada perkembangan seni di negara kita, terutama kepada teater moden Malaysia.
IZZUDDIN ISMAIL atau R CONG aktivis teater dan penulis skrip (bersama Namron) filem “Gadoh”. Dia juga bertindak sebagai pengarah bersama dan pelakon Teater Bukan Teater

