Memang biasa seorang penyanyi dangdut tampil dengan busana 'mengancam' dan berkelip-kelip di atas pentas, namun dengan prop begitu saja ia belum tentu dapat memukau hati penonton.
Selain perlu menitikberatkan kemantapan vokal, persembahan dangdut juga sepatutnya dianggap tidak lengkap jika ia tidak disertai dengan gelekan pinggul.
Perkara itu diakui oleh Raja Gelek Malaysia yang berasal dari Bagan Datoh Perak, Datuk M Daud Kilau.
“Saya perhatikan ada antara peserta program realiti mencari penyanyi dangdut hanya melontarkan suara tetapi tiada aksi. Mereka keras seperti kayu di atas pentas.
“Seharusnya mereka mewarnai persembahan dangdut itu dengan tarian yang dapat menghiburkan penonton kerana kita sudah sedia maklum ia (gelekan) sebati dengan genre itu,” katanya.
M Daud ditemui pada sidang media penubuhan Persatuan Bintang Dangdut Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Kata Juara Bintang Radio 1968 itu penyanyi yang baik adalah seseorang yang boleh melapangkan "emosi, dada dan fikiran" sebelum mereka memulakan sesuatu persembahan.
“Sekiranya ada sebarang masalah atau konflik (misalnya) bersama pasangan, rakan mahupun keluarga, mereka wajar menyelesaikan ia terlebih dahulu.
"Jangalah bawa masalah hingga ke atas pentas, ia akan mencacatkan persembahan," kata penyanyi Cek Mek Molek itu lagi.
Pada masa sama, kata M Daud, penyanyi perlu sentiasa mengukir senyum kerana ia akan kelihatan lebih manis begitu.
Walau uzur masih gagah
Sementara itu bercakap mengenai dirinya, M Daud berkata beliau menyedari dia tidak mungkin dapat seaktif dulu kerana kini menghidap penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang.
ia juga pernah dimasukkan ke hospital selama sebulan pada Februari lalu akibat komplikasi membuang air kecil.
“Walaupun dengan keadaan kesihatan yang kurang baik, saya dapati pihak penganjur masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai persembahan. Bagaimanapun, saya berharap mereka tidak berkecil hati dan dapat memahami keadaan saya sekarang," katanya.
Kini menetap di Teluk Intan, biarpun kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya M Daud masih 'gagah' menghadiri jempuran yang dirasakan tidak membebankannya.
Kata anak bongsu daripada 10 beradik itu, kehadirannya di sidang media semalam boleh dianggap sebagai menyuntik semangat kepada ahli persatuan.
M Daud juga menyatakan rasa kagumnya dengan pembabitan penyanyi dangdut untuk bergabung memperjuangkan kembali keghairahan kepada irama tersebut.
“Sepanjang pengalaman saya sebagai penyanyi selama 50 tahun, inilah buat kali pertama ditubuhkan persatuan yang dirasakan benar-benar mampu membela nasib rakan seperjuangan dalam mengetengahkan semula irama dangdut.
“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama meraikan penubuhan ini, dan berharap dipanjangkan umur agar dapat menyertai persembahan yang akan mereka lakukan tidak lama lagi," katanya.
