Belum berhijab, namun pelakon jelita Anzalna Nasir menjadikan perniagaan tudung sebagai suatu langkah mendekatkan dirinya ke keadaan itu sepenuhnya.

Sejujurnya Anzalna mengakui apa yang didepani kini adalah cabaran namun dia menganggapnya sebagai suatu permulaan positif untuk mempersiapkan dirinya berhijab sepenuhnya.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir berkata peluang berkolaborasi dengan jutawan kosmetik Datuk Aliff Syukri pula dianggap sebagai suatu petunjuk besar bagi dirinya melalui perubahan di masa depan.

“Dalam perbincangan awal bersama Datuk Aliff, saya memberitahunya mengenai perasaan sangsi saya untuk menguruskan perniagaan tudung ini.

“Saya masih belum berhijab, justeru tidak elok sekiranya saya mengambil keuntungan di atas perkara yang saya sendiri tidak lakukan.

“Tetapi apabila difikirkan semula, ia sebenarnya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri kerana perniagaan ini menjadikan saya lebih terbuka untuk berhijab,” katanya semalam.

Aktres berusia 28 tahun itu ditemui pada majlis pelancaran Inspirasi Raya 2016 Anzel Scarf by Anzalna & Abang Terlajak Laris (ATL) di Damansara.

Menggunakan jenama Anzalna, kerjasama itu menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta menjelang akhir tahun ini berdasarkan kemampuan stokis menjana perolehan sehingga RM200,000 sebulan.

Harap tambah pahala

Produk itu - sebelum ini dikenali sebagai Sugar Scarf - mula dipasarkan Januari lalu.

Kata Anzalna selain mendekatkan dirinya kepada hijab perniagaan diceburinya itu turut turut membuka peluang kepada orang lain yang berminat untuk berniaga.

"Latihan intensif turut diberikan kepada stokis bagi meningkatkan kualiti perniagaan mereka,” katanya.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur sekiranya pendekatan yang diambil itu turut turut menyebabkan ‘tempias’ kepada orang lain.

“Lebih penting, dengan menjual tudung ini, sekiranya ada peminat yang belum berhijab tiba-tiba berminat untuk membeli dan memakainya, secara tidak langsung dapat juga saya menambah pahala," katanya.

Menurut pelakon Memori Cinta Suraya itu lagi, walaupun menyasarkan keuntungan mereka tidak akan menggunakan pendekatan strategi pemasaran yang tidak masuk akal untuk melariskan produk.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, mereka berasa cukuplah dengan dirinya sendiri menjadi ‘pelaris’ jualan tudung berkenaan.

“Umum tahu Datuk Aliff itu orangnya gila-gila, sentiasa tampil dengan idea menakjubkan, tetapi saya lebih selesa menjadi diri sendiri.

"Rasanya tak perlu melakukan taktik pemasaran keterlaluan," katanya.