Ikatan kontrak untuk filem Hunger Games berakhir dengan kemunculan filem keempatnya tahun lalu. Apabila X-Men: Apocalypse disiapkan langkah Jennifer Lawrence menjadi semakin laju.

X-Men: Apocalypse adalah ikatan terakhir kontrak ditandatangani Jennifer untuk siri X-Men.

Pada akhir tahun ini Jennifer akan muncul dalam filem fiksyen sains bertema romantik, Passengers, dengan membawa watak seorang wartawan yang terperangkap di angkasa.

Ketika ini pula dia sedang gigih berlatih bersama Javier Bardem (pelakon Skyfall, Eat Pray Love) dan Michelle Pfeiffer sebagai persediaan berlakon sebuah filem belum berjudul arahan Darren Aronofsky.

Aronofsky adalah sutradara pemenang Oscar dan antara filem arahannya ialah Noah dan Black Swan.

Apabila projek itu siap, Jennifer dijadual membawa watak jurugambar perang dari AS, Lynsey Addario, dalam filem arahan Steven Spielberg. 

Kemudian Jennifer bercadang mencuba bakat mengarah filem Project Delirium - sebuah cerita berdasarkan rencana disiarkan majalah New Yorker berkaitan projek ujian psikiatrik dijalankan tentera AS pada 1960.

Tak mudah untuk berjaya

Bagi kebanyakan orang, pemenang Oscar (melalui filem Silver Linings Playbook) itu mengalami nasib yang bertuah kerana mempunyai sejarah cemerlang dalam kerjaya.

Baru berusia 15 tahun Jennifer kini adalah pelakon wanita mendapat bayaran paling mahal di dunia ketika ini.

Ketika sesetengah pihak berpendapat kejayaan itu "terlalu awal" dan amat mudah untuk dia, Jennifer berpendapat sebaliknya.

"Saya tak mahu melalui lagi kesengsaraan yang pernah saya alami dulu.

"Biar saya katakan ini: Saya pernah tinggal di rumah pangsa murah bersama tikus ketika berusia 14 tahun, ditolak berkali-kali oleh pengarah filem, juga memberikan segala yang termampu untuk berjaya sebagai pelakon.

"Mudah untuk seseorang menganggap apa yang saya kecapi ini dicapai dengan senang," katanya.

Lahir di Louisville, Kentucky, Jennifer menjadi pelakon bersama syarikat tempatan sebelum berhijrah ke New York ketika berusia 14 tahun.

Tidak semua menyeronokkan

Di kota raya itu bakatnya dikesan dan dia pula memang gemar berlakon. Justeru Jennifer diterbangkan ke Los Angeles. Di situ hidupnya memasuki fasa baru.

Sebagai pelakon popular, hidup Jennifer tidak juga mudah.

Ketika menyiapkan filem Hunger Games dia bersama beberapa rakan pergi bercuti untuk menenangkan fikiran. Dia gagal, kerana kehadiran mereka disedari paparazzi.

Dia kemudian diekori ke mana saja, memaksa mereka memendekkan percutian berkenaan kerana tidak tahan dengan gangguan itu.

"Ada 10 orang lelaki tidur di luar rumah saya setiap malam, dan apabila pagi saya melihat mereka di situ. Ia tidak menyeronokkan," katanya.

Lebih menekan perasaan, kata Jennifer, masalah sebegitu tidak dapat diluahkan secara bebas kepada orang ramai yang menganggap selebriti sepertinya sebagai manusia sangat bertuah.

Jika mengadu atau melepaskan perasaan, katanya, orang akan menjuihkan mulut dan berkata: "Diamlah wahai jutawan!"

"Mungkin betul kami bertuah, tetapi kami juga ada hak untuk hidup tanpa gangguan orang lain.

"Alangkah indahnya jika saya hanya dilihat di dalam filem, atau di program promosi filem," katanya.