Memiliki 'teman' di media sosial sehingga 700 orang, seekor anjing yang menghabiskan masa di rumah perlindungan selama enam tahun - dan diketepikan 18,000 orang - akhirnya mendapat tuah tersendiri.

Freya - digelar Anjing paling sunyi di Britain - diberi watak dalam filem terbaru Transformers.

Baru-baru ini pengarah berkenaan Michael Bay mengumumkan akan ada tempat utuk Freya dalam filem berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Bay terbaca mengenai kisah malang anjing jenis Staffordshire itu.

"Terbaca berita ini minggu lalu di UK. Kami memberi peranan kepada The Loneliest Dog dalam Transformers," katanya di Twitter.

Bay yang terkenal sebagai penggemar anjing juga berjanji untuk mencarikan Freya penjaga sebenar.

Sejak ditempatkan di pusat perlindungan haiwan ketika masih kecil, Freya tidak menarik minat sesiapa untuk dipelihara.

Sepanjang tempoh enam tahun Freya juga terpaksa pasrah apabila lebih 50 anjing yang sebumbung dengannya mendapat penjaga baru di pusat berkenaan.

Sementara itu jurucakap Pusat Perlindungan Haiwan Freshfields berkata mereka teruja dengan peluang diberikan Bay.

"Freya seeokor anjing yang baik dan personaliti menarik, dan dia mendapat bantuan daripada orang yang terbaik di bawah Bay," kata seorang penyumbang pusat perlindungan itu, Debbie Hughes.