Kelab Seni Filem Malaysia menganjurkan program ExScreen 008: KLEX Experimental Video Series yang mempersembahkan siri karya eksperimental melalui pelbagai pendekatan dan gaya pada 17 Jun ini.
Bertempat di Content Malaysia Pitching Centre yang terletak di Platinum Sentral Kuala Lumpur penonton berpeluang menyaksikan persembahan seni filem dari Malaysia, Kanada, Jepun, Poland dan AS.
Ia video dan animasi terpilih dari arkib KLEX merangkumi tempoh 2013 hingga 2015.
Menurut kenyataan kelab itu, program berkenaan diadakan untuk memberi orang ramai melihat gambaran keseluruhan filem eksperimental daripada karyawan yang datang dari pelbagai latar budaya dan perspektik berbeza.
"Karya terpilih meneroma tema seperti ruang dan tempat, sama ada secara fizikal, psikologi atau bersifat peribadi.
"Walaupun kebanyakan tafsiran dan perasaan kita terhadap tempat berdasarkan kepada pengalaman peribadi, kita tidak boleh menafikan sesetengah struktur memberi kesan kepada hidup manusia.
"Pada masa tertentu tempat yang wujud dalam minda seseorang boleh dilihat seperti nyata dalam bentuk fizikal," katanya.
Orang ramai boleh mula memasuki premis itu sejak jam 7 malam walaupun tayangan hanya akan dimulakan pada jam 8.30 malam.
Berikut adalah filem yang akan ditayangkan:
AVA 'N GARDE
(Bogna Warszawa, 6:30 min, 2014, Poland)
Video lucu artis Poland yang menyentuh mengenai subjek avant-garde.
H1001_XTOUCH.MOV
(Chloe Yap Mun Ee dan Wee Jia Foong, 5:56 min, 2015, Malaysia)
Berkisar mengenai perjalanan seorang kanak-kanak perempuan melakukan dokumentasi 'perang mental' dalamannya.
Dia cuba menghasilkan filem yang dapat menceritakan keadaan itu.
JOHN CAGE-HALBERSTADT
(Pierre Hébert, 10:50 min, 2013, Kanada)
Melalui kombinasi rakaman secara langsung, proses digital dan animasi John Cage - Halberstadt menampilkan vertigo sementara dihasilkan melalui karya John Cage, Organ2/ASLSP
Imej dirakamkan pada detik perubahan not ke-12, pada 5 Julai 2012 di sebuah Gereja Burchardt di Halberstadt, Jerman.
THE BLUE ROOM
(Tomasz Siwiński, 14:30 min, 2014, Poland)
Paparan daripada kajian yang sangat menarik berkaitan minda manusia dalam keadaan mati secara klinikal.
KHUCHITHESIZER
(Kezzardrix and dj sniff, 4:45 min, 2014, Jepun)
Alunan muzik daripada pelbagai bunyi suara artis Jepun Makigami Koichi. Bunyi-bunyian itu dihasilkan melalui teknik tertentu yang dimanipulasi melalui alat turntable dan penapis analog.
Imej yang dipaparkan terhasil melalui perisian yang dibina dengan Jitter dan Openframeworks. Kebanyakan imej itu dihasilkan secara langsung dan hasil tindak balas karekter bunyi.
BRUTALISM
(Jessica Poon, 2:45 min, AS/Perancis/Itali)
Sebuah animasi untuk mempersenda dunia politik yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Melalui sejarah, seni bina digunakan sebagai ideologi jentera kerajaan, melalui reka bentuk dan bentuk yang diberi kuasa oleh kesan hipnotik.
SEMALU
(Jimmy Hendrickx, 19:40 min, Malaysia/Belgium)
Semalu - sejenis tumbuhan sensitif - bercerita tentang kanak-kanak di Cheras yang berada dalam tempoh peralihan modernisasi.
Di antara kebingitan kerja-kerja pembinaan penonton dibawa melihat bagaimana generasi muda itu membesar.
Datuk nenek mereka tidak berasal atau membesar di Cheras, sebaliknya datang ke situ untuk membina hidup baru. Tiga puluh tahun lalu Cheras adalah kawasan masih berhutan.
Kawasan perbandaran baru itu kemudian akan menjadi tempat permainan kanak-kanak. Mereka kemudian perlu menjaga diri sendiri dan mencari makna hidup di kawasan pembinaan.
Diasaskan pada Januari 2015 ExScreen adalah program tayangan filem dan video eksperimental yang dibuat kerana menyedari audien tempatan kurang terdedah kepada tontonan serta perbincangan karya kontemporari.
