Seperti kebanyakan artis lain pendangdut remaja Bella Nafa juga memperlahankan aktiviti seninya sempena Ramadan.

Untuk menghormati bulan puasa Bella, 19, berkata dia lebih cermat memilih pakaian supaya tidak kelihatan terdedah seperti biasa.

Selain gemar mengenakan pakaian "lebih tertutup" dia juga menghentikan penampilan ciri khasnya di atas pentas, iaitu aksi "goyang gojek".

"Semua orang mahu menjadi lebih baik, kan? Terutama Ramadan ini, ia berbeza berbanding bulan-bulan yang lain," katanya kepada media di Jakarta semalam.

Sesuai dengan kemahuannya, kata Bella, aksi goyang berkenaan tidak akan dilakukan walaupun ketika membuat persembahan.

"Ya betul, di atas pentas saya tak akan keluarkan goyangan itu," katanya.

Goyang gojek merujuk kepada ciri khas penyanyi yang popular dengan lagu Ayam Kremes (Ayah Muda Bikin Gemes) itu.

Menurut laporan media Bella mendapat ilham mencipta gerakan itu selepas merasai sendiri pengalaman menjadi pembonceng gojek di atas jalan raya di Jakarta.

Kata Bella, mencelah dalam kesesakan lalu lintas di tengah kota raya Indonesia itu menyebabkan dia bergoyang-goyang.

Gojek - asalnya dikenali sebagai Go-Jek - adalah perkhidmatan penghantaran persendirian menggunakan motosikal.

Selain membawa penumpang ia juga menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan.
Menggunakan aplikasi khas, perkhidmatan itu bermula sejak 2010.

Sementara itu kata Bella dia bercita-cita memberi definisi dan wajah baru untuk muzik dangdut.

Mengakui meminati irama itu sejak lama dulu, Bella berharap dangdut sedia ada boleh diperkemas supaya nampak lebih elegan walaupun ia dikenali sebagai hiburan untuk golongan bawahan.

"Saya rasa dangdut ini irama yang boleh menyegar dan membangkitkan semangat," katanya.