Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Biasanya tugas menjaga kandungan diserahkan kepada si ibu yang hamil, tetapi keadaan sebaliknya berlaku bagi pelakon Nad Zainal apabila tanggungjawab itu nampak seperti diambil alih oleh suami.

Kata Nad, 26, berpandukan telunjuk - kebanyakannya dari Google - suaminya, Muhammad Faliq Amiruddin, melakukan apa saja yang termampu bagi memastikan dia dan anak mereka sihat.

“Demi kesihatan saya dan bayi dalam kandungan, Faliq lebih ke depan. Dia yang bersungguh-sungguh mencari panduan melalui Google.

"Bagi aspek pengambilan makanan misalnya, dia begitu tegas dan mengehadkan makanan yang boleh saya ambil.

“Bagi Faliq, ais dan makanan yang bercampur MSG (monosodium glutamate) langsung tidak boleh saya sentuh,” katanya kepada Malaysiakini.

Nad ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim dalam program amal anjuran sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya.

Nad dan Faliq, 28, bernikah pada 18 Disember tahun lalu dalam satu majlis di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Nad yang kini hamil lima bulan juga berehat secara rasmi daripada sebarang aktiviti lakonan mulai 14 Jun lalu.

Sebelum mengambil cuti berlakon kerana hamil Nad sempat menghabiskan penggambaran telefilem arahan Nizam Zakaria, Her Missy! yang dipersiapkan untuk pertandingan anugerah Tribute Untuk P Ramlee.

Menceritakan penjagaan rapi suaminya Nad berkata dari semasa ke semasa ada saja permintaan dibuat Faliq dalam usahanya menjaga kesihatan anak beranak itu.

Bagaimanapun, kepada empunya nama asal Farah Nadia Zainal Abidin itu, permintaan si suami kadang kala sukar dituruti.

“Memang pengambilan ais tidak baik untuk wanita khususnya yang hamil, tetapi apabila cuaca panas, sukar juga saya menahan diri.

“Sejujurnya ada pantang larang itu yang saya langgar," katanya.

Keadaan itu mendorong Faliq memberikan nasihat berulang kali kepada Nad.

"Faliq nak marah betul-betul pun tak boleh, sebab saya kan sedang hamil,” ujarnya sambil ketawa.

Pada masa sama, kata Nad, Faliq juga rajin ‘menawarkan diri' membuat tugasan rumah tangga.

Nad berkata, dia akur dengan kemahuan Faliq yang bertegas mahu mengambil alih tanggungjawab berkenaan - dan atas alasan itu, Nad juga turut berlembut dan menuruti pantang larang tadi.

Sementara itu bercerita mengenai pengalamannya menyiapkan Her Missy! Nad berkata dia tidak mahu dilihat bermalas-malasan di rumah hanya kerana sedang hamil.

Pada Nad, dia lebih suka menjadi ibu yang aktif kerana ia baik untuk anak yang dikandung. Justeru dia masih bekerja seperti biasa sehinggalah 14 Jun lalu.

“Nasib baik keadaan perut ketika itu tidak terlalu ketara dan boleh disorokkan di sebalik pakaian longgar.

Sepanjang tempoh berehat, kata Nad dia akan memfokuskan masa dan tenaga kepada bidang perniagaan.

"Kerja akan disambung sekiranya ada tawaran berlakon selepas selamat melahirkan anak nanti,” katanya yang dijangka bersalin Oktober ini.

Untuk perayaan Aidilfitri tahun ini pula, ia pasti menjadi kenangan indah buat pelakon genit itu kerana akan menyambutnya - buat pertama kali - bersama suami dan mentua.

“Nak kata berdebar itu tidak, tetapi perasaan itu lebih kepada teruja kerana saya dapat menikmati juadah raya yang berlainan daripada kebiasaan.

“Sebagai persediaan buah tangan, mungkin saya akan membawa rendang burung puyuh untuk keluarga mentua yang juga berada di Kuala Lumpur,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS