Meat Loaf rebah di atas pentas
Penyanyi rock AS Meat Loaf dilaporkan tumbang ketika membuat persembahan di Kanada hari ini.
Kejadian berlaku hanya beberapa hari selepas dia menunda persembahan yang dijadualkan lebih awal kerana masalah kesihatan.
Laporan media dan pos di media sosial menyatakan artis berusia 68 tahun itu mengadakan persembahan di Auditorium Jubilee di Edmonton.
Ketika itu Meat Loaf menyampaikan lagu hitnya pada 1993, I'd Do Anything for Love.
Sejurus selepas dia dilihat tertunduk dan terjatuh di atas pentas pasukan perubatan bertindak segera untuk merawatnya.
Setakat ini tidak diketahui status atau keadaan Meat Loaf.
Dia sepatutnya mengadakan konsert di bandar raya Calgary pada Isnin lalu tetapi menundanya kerana menghadapi keuzuran.
#Meatloaf collapse in #yeg tonight. Scary stuff to witness ? pic.twitter.com/ihdUuQimtj
— Gen Ross (@gen_ross) June 17, 2016
Jabatan Bomba Edmonton mengesahkan mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
Bagaimanapun kata jurucakapnya disebabkan kejadian itu membabitkan isu kesihatan ia ditangani kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alberta.
Meat Loaf - atau nama sebenarnya Michael Lee Aday menikmati kemasyhuran selama berdekad-dekad. Selain dikenali sebagai penyanyi dia juga terbabit dalam bidang lakonan.
Satu daripada karyanya yang paling diingati ialah album terbitan 1977, Bat Out of Hell.
Pada 2003 dia pernah rebah ketika mengadakan konsert di Engalnd.
Dalam temubual kemudian Meat Loaf menyalahkan sindrom Wolff-Parkinson-White sebagai punca dia begitu.
"Ia tidak akan terjadi lagi," katanya selepas mengadakan pembedahan jantung kemudian.
Lapan tahun kemudian kejadian itu berulang. Kali ini di Pittsburgh, dan Meal Loaf mendakwa ia berpunca daripada asma.

