Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelawak Singapura mohon maaf
Diterbitkan:  Jul 4, 2016 10:49 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Pelawak Singapura memohon maaf secara terbuka atas jenakanya yang dianggap mempersenda perdana menteri Malaysia.

Dalam kenyataan dibuatnya melui klip video Fakkah Fuzz berkata dia tidak berniat jahat menuduh sesiapa terlibat dengan kesalahan sebaliknya apa yang dikatakan secara bahan gurauannya.

Kata Fuzz apa yang diucapkannya di atas pentas semasa persembahan berkenaan sekadar lawak jenaka mengenai isu semasa.

"Saya cuma cakap apa yang saya dengar, bukannya menuduh orang itu atau ini buat salah. Tolong jangan ambil kenyataan saya di luar konteks kerana saya tidak memfitnah sesiapa

"Justeru semua orang perlu berfikiran terbuka, tidak terlalu sensitif dan belajar untuk bergurau sesekali," katanya di Facebook semalam.

Malaysiakini kelmarin menyiarkan laporan jenaka Fuzz yang mengundang ketawa besar penonton ketika bercakap mengenai perbezaan maksud bahasa Melayu di Singapura dan Malaysia.

"Sebagai contoh, jika Melayu Malaysia mahu mengajak ke sesuatu tempat, mereka berkata: Jom.

"Tapi kalau Melayu Singapura mereka akan berkata: Jom! Jom! Jom!" katanya.

Fuzz kemudian meneruskan jenakanya lagi: "Apabila kita ada thief, di Singapura kita panggil pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri. Jadi ia memang sangat berbeza."

Ekoran itu Pemuda Umno Wilayah Persekutuan meminta Kementerian Dalam Negeri mengharamkan kemasukan Fuzz ke Malaysia.

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tindakan pelawak berkenaan merupakan perbuatan biadap dan tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua negara berjiran dan memiliki hubungan akrab sejak puluhan tahun lalu.

Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zainal pula berkata permohonan maaf Fuzz tidak memadai kerana jenakanya itu "memberi kesan mendalam" kepada rakyat Malaysia.

"Nasihat kami kepada Fakkah ialah cermin diri dulu sebelum campur tangan dalam hal ehwal Malaysia," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kata Fuzz dia cuma bercakap mengenai apa yang didengari dan bukannya menuding jari ke arah seseorang dan menuduhnya bersalah.

Fuzz juga mengakui klip vide yang dipertikaikan itu sudah dipadam dari Internet.

Dia juga berharap selepas ini orang ramai yang menonton klip video persembahannya tidak terlalu serius dan menikmati apa yang disampaikan.

"Jika kamu menggemarinya, bagus. Kalau tak suka, klik ke (pautan) lain. Tak ada sesiapa memaksa kamu menonton apa-apa. Ini Internet," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS