Selepas usaha keras mengembangkan karier di persada antarabangsa, penyanyi Anggun Cipta Sasmi kini mencipta nama apabila wajahnya diabadikan sebagai ukiran patung di muzium lilin Madame Tussauds di kota London.

Anggun menjadi ikon kedua dari tanah airnya yang mendapat penghargaan daripada muzium lilin terkenal dunia itu selepas presiden pertama Indonesia, Soekarno.

“Ini menjadi kebanggaan yang begitu bererti buat saya kerana dijadikan sebagai tokoh yang mewakili rakyat Indonesia,” katanya menerusi sidang video di Penang Bistro, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Ketika ditemubual, Anggun berkata beliau cukup berbangga atas penghargaan itu.

Secara peribadi, Anggun bagaimanapun berkata, dia tidak gemar menggantung gambarnya di ruang tamu rumah.

Dia juga tidak suka menunjuk-nunjuk anugerah yang pernah dimenanginya kepada orang lain.

“Saya tidak pernah mempunyai gambar sendiri kerana berasakan tidak perlu mempunyai ego sebegitu.

“Sebarang gambar sendiri juga tidak diletakkan di rumah.

“Anugerah yang dimiliki juga begitu. Saya hanya meletakkan semua piala di pejabat,” katanya seperti dilapor portal Kapanlagi.

Menurut Anggun, dia lebih suka mengamalkan sikap bersederhana.

Baginya, sikapnya itu jika dibandingkan dengan orang lain sudah pasti berbeza, terutama mereka yang gemar berselfie.

Apabila ditanya sekiranya Anggun mahu meletakkan patung lilin di rumahnya, ini jawapannya:

“Tidak mahu. Saya tidak akan meletakkan patung lilin yang menyerupai diri sendiri di rumah,” katanya.