Mengapa komen David Teo jadi polemik perkauman?
Apa yang lebih menyedihkan daripada komen Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) David Teo bukanlah keterlanjuran penerbit filem itu memberikan contoh, sebaliknya kata Harith Iskander, ialah bagaimana isu itu dibincangkan.
Pada pandangan hos dan pelawak terkenal itu, orang ramai perlu menyedari ada kebenaran pada komen dibuat Teo itu walaupun tidak semuanya boleh diterima.
“Perkara paling sedih ialah apabila sesetengah orang Malaysia menukarkan isu berkenaan menjadi perkauman iaitu “kita melawan mereka,” katanya.
Hakikatnya kata Harith, pemergian Seniman Agung itu buat selama-lamanya memang dalam keadaan dirinya tidak berharta.
Malah pada masa sama Harith berkata sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, karya P Ramlee juga belum sempat diiktiraf dan dipuji.
Pun begitu, katanya, kematian P Ramlee sememangnya meninggalkan sesuatu yang berharga buat rakyat Malaysia - iaitu legasi.
Bagaimanapun, Harith mempunyai alasannya yang tersendiri apabila dia mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Namun ia tidak bermakna Harith menjadi antara penggemar karya dihasilkan Teo.
“Saya bukanlah penggemar filem dihasilkan Teo, tetapi pada dasarnya bersetuju dengan hujah yang dibuatnya - kalau pun tidak contoh yang diberi," kata Harith melalui status dimuat naik di laman Facebooknya.
Semalam Malaysiakini melaporkan kenyataan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang menuntut Teo memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang membandingkan P Ramlee dengan rancangan MIG memajukan artis mereka.
Kata SENIMAN kenyataan dibuat Teo melukakan hati dan perasaan ramai orang termasuk waris Seniman Agung berkenaan.
Nafi buat kenyataan begitu
Pada awal pagi tadi Teo memohon maaf secara terbuka atas laporan yang terbesar meluas di kalangan orang ramai.
Sebaliknya, Teo mengakui dia adalah antara ribuan penggemar karya Seniman Agung itu.
“Saya yakin kejadian ini timbul ekoran salah faham antara pendengar dan penulis artikel.
“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya kaum keluarga Seniman Agung Tan sri P Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu yang sedang diperkatakan sekarang.
“Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat (MIG) supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya golongan yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.
Bagaimanapun melalui kenyataan disiar laman sesawang Metrowealth Pictures itu dia menafikan membuat kenyataan sebegitu kepada wartawan dan disiarkan Malay Mail Online pada Khamis lalu.
Harith berkata setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing dan pendapat itu tidak semestinya mendapat persetujuan orang lain.
Justeru kata Harith, sebolehnya, jika tidak bersetuju dengan pendapat seseorang, tidak perlulah isu perkauman diheret bersama.
"Fakta: P Ramlee meninggal sebagai orang miskin.
"Adakah dia diiktiraf dan dipuji ketika hidup? Tidak.
"Adakah dia meninggalkan legasi? Ya.
"Adakah seseorang dibenarkan mempunyai pandangan sendiri? Ya.
"Adakah anda mesti bersetuju dengan pandangan orang lain? Tidak
"Bolehkan anda tidak bersetuju dengan seseorang tanpa membabitkan perkauman dalam penyelesaian? Ya," katanya.

