WHAM minta Teo tak salahkan media, Ku Seman kata jangan meracau
Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), meminta supaya produser filem, David Teo, mengambil sikap lebih matang dan bertanggungjawab menangani sesuatu isu dan bukannya menyalahkan pihak lain.
Sebagai individu yang dipandang tinggi dalam industri hiburan tanah air, kata WHAM, Teo tidak seharusnya menyalahkan pihak lain apabila kenyataan yang dikatakan dibuatnya kini menjadi isu hangat serta mendapat kecaman daripada pencinta seni tanah air.
Justeru Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin menggesa produser berkenaan tidak meletakkan kesalahan ke atas pihak media.
Dalam laporan sebelum ini, Teo dikatakan menasihati artis di bawah syarikatnya supaya tidak menjadi seperti P Ramlee yang hidup susah di akhir hayatnya.
Antara kenyataan yang dibuat adalah kesusahan hidup seniman itu menyebabkan dia terpaksa tinggal di pinggir Bukit Bintang, selain anak yang ditinggalkan allahyarham hanya bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Kenyataan Teo kemudian mendapat kritikan cukup hebat daripada karyawan seni tempatan, artis dan netizen.
Ekoran itu, Teo mengeluarkan kenyataan yang menafikan beliau membuat kenyataan seperti yang tersebar di media ketika ini, selain mendakwa media tersalah lapor akan kenyataannya.
Dulu wartawan julang David
Dalam kenyataan terbabit Teo juga memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya keluarga P Ramlee.
"Merujuk kepada kenyataan akhbar dibuat oleh produser berkenaan yang saya terima pada jam 12.44 pagi Isnin. David menafikan beliau membuat kenyataan memburuk-burukkan nama P Ramlee.
"Dalam kenyataan akhbar sama, David seolah-olah meletakkan pihak media sebagai tersalah lapor dan salah tafsir terhadap apa yang beliau nyatakan.
"WHAM kesal dengan apa yang dijelaskan oleh produser itu kerana ia seolah-olah meletakkan seluruh kesalahan kepada pihak media yang 'kononnya' tersalah lapor.
"Saya percaya media tidak akan mengada-adakan berita kerana mereka beroperasi atas etika kewartawanan yang kami junjung. Menjadi prinsip ahli media untuk tidak melaporkan benda yang tidak diperkatakan.
"Media takkan buat benda yang tidak dilaporkan oleh sumber kami. Justeru, David tidak boleh meletakkan kesalahan kepada media apabila kenyataannya mendapat kritikan hebat daripada anggota masyarakat yang lain," kata Tengku Khalidah.
Menurut Tengku Khalidah, sebagai produser filem yang mempunyai pengaruh besar, Teo perlu mengambil seluruh tanggungjawab terhadap apa juga pendapat yang diberikan olehnya, bukan dengan meletakkan kesalahan kepada pihak lain seperti sekarang.
Selain itu juga, Tengku Khalidah juga meminta supaya wartawan, terutamanya wartawan seni dan hiburan, mempunyai pertimbangan kendiri semasa membuat laporan.
Tegasnya, perkara itu perlu ditekankan terutama ketika menulis berkaitan hal sensitif membabitkan ikon negara yang sudah meninggal dunia.
Sementara itu bekas editor kanan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain berpendapat tidak wajar orang ramai memberi reaksi berlebihan terhadap isu berkenaan.
Kata Ku Seman selain tindakan itu hanya membuang masa orang ramai juga tidak sepatunya "meracau" apabila nama P Ramlee disentuh.
"Lagipun bukankah sebelum ini wartawan Melayu juga yang julang David Teo dengan filem substandard kononnya inilah penyelamat dunia filem Melayu?
"Buat diam saja atau fikirlah benda lain di sekeliling kita, misalnya stesen TV yang merosakkan budak budak Melayu. Itu lebih baik," kata Ku Seman.

