Diana 'kurus' bukan kerana derita
Memiliki tubuh kekal langsing walaupun bergelar ibu kepada dua anak bukan disengajakan buat pelakon Diana Danielle.
Percaya atau tidak, Diana tidak menyimpan atau mengamalkan sebarang petua rahsia sebagai tip penjagaan berat badan.
Sebaliknya Diana berterima kasih kepada genetik yang diwarisinya kerana tanpa anugerah itu, dia mungkin tidak dapat membuat kemunculan di sesuatu acara dengan imej yang masih kelihatan menawan.
“Saya bersyukur dengan susuk tubuh dimiliki sekarang kerana ia diperoleh hasil daripada genetik yang diwarisi turun-temurun bermula dari nenek hinggalah emak.
“Bukan untuk bermegah, tetapi hakikatnya saya memang tidak menggunakan sebarang ubat kurus atau menu tahan lapar, sebaliknya ia benar-benar hanya faktor genetik,” katanya kepada Malaysiakini.
Tetapi isteri kepada pelakon Farid Kamil itu tidak menafikan sekiranya ada pihak yang berpendapat saiz badan begitu mungkin kurang bersesuaian.
Namun, bagi Diana yang mempunyai ketinggian 170 sentimeter, dia berasa selesa apabila mempunyai berat badan kira-kira 60 kilogram.
Diana mengikat tali perkahwinan dengan Farid pada 2012 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan Muhammad dan Nur Aurora.
Tidak mahu meminta-minta
Bergelar sebagai seorang isteri dan ibu tidak membuatkan Diana terlepas daripada telahan umum yang mungkin menyangka keadaan fizikalnya itu disebabkan tugas menguruskan anak.
Manakan tidak, Diana sebenarnya membuat tiga kerja pada satu masa - di samping menjadi isteri dan ibu dia juga memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.
Bagaimanapun, Diana bukanlah seorang yang mudah melatah. Baginya semua keletihan daripada tugasan itu dianggap berbaloi.
“Bagi saya mengeluh keletihan kerana menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu itu rasanya tidak wajar.
“Saya yang memilih jalan ini, iaitu bekerja sesudah memiliki keluarga jadi saya akan menyempurnakan apa yang dimulakan.
“Dengan bekerja saya mampu menjana pendapatan sendiri dan tidak mengharapkan atau meminta-minta semuanya daripada suami,” katanya.
Untuk merealisasikan sepenuhnya tanggungjawab yang ada Diana sememangnya memerlukan bantuan terutama daripada Farid.
Kata Diana, suami menyedari kewajipan menguruskan urusan rumah tangga bukan terletak hanya pada tangan si isteri.
“Bagi saya, jika mana-mana suami tidak dapat memenuhi tuntutan kepada anak dan rumah tangga, dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.
“Suami pada masa sama harus sedar isteri juga memunyai tanggungjawab sama berat, justeru dia tidak boleh berlepas tangan.
“Kalau tidak saling sokong-menyokong dan berada bersama pasangan, susahlah untuk bahagia hingga ke syurga,” katanya.

