Spekulasi bertali arus ke atas kehidupan peribadi membuatkan aktres Jennifer Aniston menulis surat secara terbuka untuk menghentikan penyebaran khabar angin yang dirasakan tidak wajar.

Menerusi surat itu, Aniston mengaku jelek dan muak dengan sikap media yang sering menganggap wanita sebagai objek.

Ketidakpuasan hati selebriti Hollywood itu dikatakan berpunca dari desus-desus mengenai kehamilannya.

Dalam kenyataannya yang ditulis kepada Huffington Post, Aniston membangkitkan tindakan media yang sering memaparkan kisah yang mencetuskan idea tidak sihat.

“Cara saya digambarkan oleh media sepertimana kita melihat dan memandang wanita lain secara umum, diukur di sebalik beberapa standard kecantikan,” tulisnya seperti dilapor CNN.

Isteri pelakon Justin Theroux itu memberitahu, pengalamannya hidup bawah kanta paparazzi

bertahun-tahun membuktikan kisah yang sering dikaitkan dengan selebriti merendahkan martabat wanita.

Drama alih perhatian

Mereka, kata Aniston, dinilai berdasarkan bentuk fizikal, status perkahwinan dan keibuan.

“Ia seperti drama bagi mereka yang memerlukan sesuatu untuk mengalih perhatian.

“Bagaimanapun, saya tidak lagi boleh menentukan yang mana satu realiti kerana sejak dari awal sudah dilayan seperti objek,” katanya.

Aniston sering diburu paparazzi sejak perkahwinan pertamanya dengan pelakon Brad Pitt.

Sementara itu, pengasas bersama dan Presiden Huffington Post Arianna Huffington berkata, tulisan Jennifer itu langsung tidak ditokok tambah, malahan tajuk diberikan pun datangnya daripada pelakon itu.

Selebriti seperti Melissa McCarthy, Olivia Wilde, Nikki Reed dan Lauren Jauregui dari Fifth Harmony turut menyatakan sokongan mereka kepada Aniston menerusi status di Twitter.