Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemuda PAS Kelantan bantah pawagam dibuka semula
Diterbitkan:  Jul 14, 2016 3:50 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Pemuda PAS Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merancang membuka semula pawagam di negeri itu bagi membendung gejala sosial.

Menurut ketua pemudanya Ahmad Fadhli Shaari, cadangan membuka pawagam tidak bersesuaian dengan imej Kelantan sebagai gedung ilmu.

“Kami menegaskan Kelantan harus kekal dengan keadaan sekarang iaitu tidak memerlukan sebuah pawagam untuk golongan muda.

“Pawagam dikhuatiri boleh mengundang pelbagai masalah dan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin berleluasa,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Ahmad Fadhli berkata demikian pada sidang media media selepas menyerah memorandum membantah cadangan membuka pawagan di pasar raya tertentu di negeri ini.

Memorandum itu diserah kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Nor Azariza Mohd Alawi dan anggota jawatankuasanya.

Sebelum ini terdapat beberapa pasar raya yang menyediakan ruang khas bagi mewujudkan pawagam dan hanya menunggu kelulusan kerajaan negeri.

Ruang itu termasuk kompleks membeli belah KB Mall.

Beberapa pawagam yang pernah beroperasi di Kelantan ditutup pada 1990an selepas didapati tidak mengikut garis panduan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Ahmad berkata, kewujudan pawagam dikhuatiri menggugat status quo pentadbiran negeri di bawah acuan Membangun Bersama Islam.

Sementara itu, menteri besar berkata, pihaknya hingga kini belum menerima sebarang permohonan untuk mewujudkan pawagam di Kelantan.

Katanya, kemungkinan ada permohonan yang pernah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerajaan Tempatan tetapi ia belum dibawa kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya banyak syarat yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh mewujudkan suasana romantik dalam kalangan penonton.

“Justeru, ada baiknya tidak perlu pawagam.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu memikirkan kaedah lain termasuk mengadakan tayangan percuma kepada orang ramai,” katanya.

Lihat Komen
ADS