Sabri: Orang buat maksiat bukan salah pawagam
Baik buruk sesuatu perkara bergantung kepada diri sendiri.
Begitu pendirian pelakon terkenal Sabri Yunus ketika mengulas penolakan Pemuda PAS terhadap rancangan pembinaan panggung wayang di Kelantan.
“Kalau (alasan) maksiat, saya tidak percaya pawagam sumbang peratusan tinggi dalam masyarakat.
“Kenapa perlu letak isu itu pada pawagam? Bukan itu tujuan ia dibina,” kata anak kelahiran Kelantan yang sinonim dengan watak komedi.
Katanya, fitrah manusia memerlukan hiburan dan jika pawagam dijadikan tempat maksiat, itu perbuatan individu sendiri.
Bagi beliau, penapisan sewajarnya boleh dibuat bagi mengekang amalan tidak sihat.
Beliau justeru berharap “orang politik” menimbang perkara itu dengan sudut pandang yang luas.
Bercakap kepada Malaysiakini, Sabri juga berkata, filem kini turut berperanan sebagai medium menyebarkan mesej berguna kepada orang ramai.
Menerusi filem yang disiarkan, ada juga yang menyelitkan nilai-nilai moral dan keagamaan, katanya.
“(Ia) Untuk membawa mesej dengan lebih berkesan.
“Kalau kita lihat dari sudut negatif, semua perkara kita akan nampak hanya negatif,” katanya ketika dihubungi.
Pemuda PAS Kelantan semalam berkata tidak akan berkompromi dengan rancangan membuka semula panggung wayang di negeri itu bagi mengelakkan suburnya masalah sosial.
Akhbar web PAS itu melaporkan terdapat pasar raya di Kelantan menyediakan ruang khas bagi mewujudkan panggung wayang dan hanya menunggu kelulusan negeri.
Panggung pernah beroperasi di Kelantan sebelum ditutup sekitar tahun 90-an selepas gagal mengikuti garis panduan bawah Enakmen Kawalan Hiburan 1998.
Menteri Besar Datuk Ahmad Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri belum menerima permohonan berkaitan tetapi berkata ada baiknya tiada pawagam jika “boleh mewujudkan suasana romantik kalangan penonton”.
Izzue Islam: Sama macam tengok TV
Sementara itu, Penyanyi dan pelakon Izzue Islam pula tidak melihat menonton wayang sebagai masalah.
“Pada Izzue menonton wayang tidak salah kerana setiap sekurang-kurang menambah aktiviti untuk sekeluarga buat pada masa lapang
“Sama juga tengok TV di rumah tetapi cuma wayang di luar,” katanya.
Bagaimanapun, berkaitan kebimbangan Pemuda PAS itu, Izzue mencadangkan pengasingan tempat duduk antara lelaki dan wanita.
“Sekiranya dipertimbangkan idea itu, sememangnya gejala sosial tidak akan mengambil tempat.
“Sekiranya di Kelantan ada wayang, rakyat tidak perlu merantau ke negeri lain semata-mata untuk menonton wayang,” katanya.

