Aktivis sastera dan bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Abdul Ahmad meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar akibat serangan angin ahmar, hari ini.

Abdul, 67, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 pagi, menurut anak sulungnya Abdul Sahli.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat HTF, beliau berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu kira-kira pukul 7 pagi semalam selepas terjatuh di rumah mereka di Kampung Paya, Beseri.

Abdul Sahli, 42, berkata bapanya selama ini kekal aktif menulis dan menyertai aktiviti persatuan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Shamsidah Sahid, 51, dan 11 anak berumur 12 hingga 42 tahun hasil daripada dua perkahwinan, serta 14 orang cucu.

Jenazah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya pada 5 petang tadi selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Darat.

Semasa hayatnya, allahyarham pernah menjadi editor majalah dan buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pensyarah sambilan dalam bidang penulisan dan penyuntingan di Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara dan Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Allahyarham turut menghasilkan novel dan cerpen selain buku dan esei berbentuk kajian dan kritikan.

- Bernama