Penyanyi Ayu Ting Ting dilaporkan membeli sebuah rumah yang mencecah harga RM2 juta (Rp7 bilion) untuk kedua orang tuanya.

Kata Ayu, hadiah yang dianggap 'kecil'-kecilan itu adalah sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya sejak kecil.

“Alhamdulillah, ada rezeki saya mendirikan vila, tempat tinggal untuk ayah dan ibu di hari tua,” katanya.

Walaupun spekulasi yang menyatakan harga kediaman itu begitu mahal, namun Ayu bertegas rumah yang baru dibeli itu hanya menggunakan pendekatan berkonsepkan minimalis.

Menceritakan lanjut mengenai struktur rumah itu, Ayu berkata kaca adalah bahan utama bagi menyerlahkan tempat berteduh mereka sekeluarga.

“Hiasan dalaman biasa-biasa saja tetapi banyak menggunakan kaca di kanan dan kiri supaya mudah melihat pemandangan gunung.

“Bilik mandi juga kaca,” katanya.

Tak mahu tiada faedah

Ketika di hadapan media, seorang daripada kenalan Ayu yang tidak ketahui namanya sempat mencelah dan memberitahu harga sebenar kediaman mewah itu.

Tetapi janda anak satu itu tidak menafikan mahupun mengeyakan kenyataan berkenaan.

Sebaliknya, sekali lagi dia menegaskan konsep kediamannya cuma bersederhana.

“Tetap minimalis dan tidak besar.

“Tetapi diaminkan saja doanya kalau harga rumah itu dikatakan Rp7 bilion,” katanya.

Biar berapa pun harga rumah itu, yang pasti Ayu dan keluarganya sudah mengamalkan langkah berjimat-cermat dan pelaburan untuk masa depan.

Ayu tidak mahu bekerja tanpa menikmati apa-apa hasil pun.

“Saya membeli rumah itu supaya ibu dan ayah dapat menikmati tinggal di situ.

“Saya tidak mahu membeli sesuatu yang tidak berfaedah,” katanya.