Naib presiden AS berlakon siri Law & Order: SUV
Siri Law & Order: Special Victims Unit (SVU) memang dikenali sering memaparkan episod diinspirasi daripada kejadian sebenar.
Selepas ini siri itu menjadi lebih unik apabila Naib Presiden AS Joe Biden membuat penampilan istimewa.
Kenyataan Rumah Putih menyebut Biden akan memberi tumpuan kepada lambakan bukti kes rogol yang tidak diuji.
Memerangi keganasan terhadap wanita memang menjadi sau daripada fokus politik Biden.
Ketika menjadi senator Delaware Biden, 73, dia memperkenalkan Akta Keganasan Terhadap Wanita yang akhirnya diluluskan pada 1994.
Sebagai naib presiden pula Biden banyak terlibat secara langsung dengan usaha menamatkan serangan seksual di kampus di seluruh AS.
Law & Order: SVU memang popular sebagai siri penyiasatan polis menangani kes serangan seksual.
Diilhamkan oleh Dick Wolf siri itu mula ditayangkan sejak September 1999.
Untuk episod itu Biden bekerjasama dengan bintang utama Mariska Hargitay beberapa kali sebelum ini.
Penggambarannya baru saja dijalankan Jumaat lalu.
Lulus peruntukan berjuta
Kedua-dua mereka pernah melawat pusat panggilan kecemasan keganasan rumahtangga pada 2013, selain muncul bersama untuk iklan kemasyarakatan pada 2014.
Mariska juga menggunakan vokalnya sebagai suara latar untuk video Biden sebelum tokoh berkenaan berucap di Konvensyen Demokratik Kebangsaan pada Rabu minggu lalu.
Sebelum ini Biden mengumumkan peruntukan hampir AS$80 juta untuk menguruskan kit rogol yang belum diuji dalam usaha sama antara kerajaan persekutuan dan pejabat peguam daerah New York.
Kit Rogol mengandungi pelbagai maklumat dan contoh berkaitan seperti sampel darah yang dikumpul untuk diuji bagi digunakan dalam siasatan kes serangan seksual.
Bukti DNA sangat penting dalam pendakwaan suspek serangan seksual namun menurut sebuah pertubuhan kebajikan dianggarkan lebih 100,000 kit rogol tidak pernah diuji sama sekali.
Di sesetengah negeri di AS kit rogol itu akhirnya dilupuskan tanpa pernah diuji. Undang-undang juga tidak memberikan hak kepada mangsa serangan seksual menyimpan kit berkenaan sehingga seseorang pesalah dihukum.
Mariska, 52, bukanlah asing dengan kempen membantu mangsa serangan seksual. Dia adalah pengasas Yayasan Joyful Heart yang membantu mangsa rogol dan serangan domestik di AS.
Awal tahun ini yayasan itu memberi anugerah khas kepada Biden atas kegigihannya menangani isu berkenaan.

