Membawakan watak berat seperti presiden ketiga Indonesia tidaklah sesukar dibayangkan.

Bagi pelakon Reza Rahadian, 29, keserasian dengan watak Bacharuddin Jusuf Habibie, atau lebih dikenali dengan BJ Habibie, mempermudahkan lakonannya.

Dengan itu, katanya, mutu persembahan akan lebih realistik dan tidak perlu dibuat-dibuat.

“Sepanjang bergelar anak seni, setiap watak yang akan diterima perlu berbeza dari yang sebelumnya.

“Bagi saya membawakan watak yang berat itu dianggap kebolehan yang organik (asli) dan karakter seperti itu begitu serasi dengan saya,” katanya.

Reza atau nama asalnya Reza Rahadian Matulessy ditemui pada malam tayangan perdana Rudy Habibie (Habibie & Ainun 2) di Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Filem itu diinspirasikan daripada kisah hidup BJ Habibie, 80, presiden paling singkat khidmatnya dalam sejarah Indonesia.

Presiden itu terkenal dengan jasanya meliberalisasikan akhbar dan mengadakan pilihan raya bebas di republik itu selepas kejatuhan Suharto akibat reformasi 1998.

Si genuis yang pakar dalam ilmu penerbangan itu digelar Bapa Teknologi dan Bapa Demokrasi Indonesia.

Filem terbaru lakonan Reza itu sebenarnya prekuel kepada Habibie & Ainun, yang menceritakan pencarian cinta tokoh berkenaan.

Dalam mencari cinta itu dia bertemu gadis Poland Illona Ianovska (lakonan Chelsea Ilan).

BJ Habibie, yang dipanggil Rudy oleh teman-teman universitinya, turut mempelajari makna persahabatan bersama pelajar lain Liem Keng Kie (Ernest Prakasa), adik puteri keraton dari Solo Ayu (Indah Permatasari) dan pemuda Batak Poltak (Boris Bokir).

Filem diarahkan oleh Hanung Bramantyo itu dijadual menemui penonton Malaysia pada 4 Ogos ini.

Watak berat sering didambakan Reza terutama yang perlu menekankan pengisian luaran dan dalaman seperti Rudy Habibie.

Bersedia dikritik

Sementara itu, Reza juga tidak kisah malah bersedia sekiranya menerima kritikan penonton mengenai mutu lakonannya.

“Memilih watak yang berat bagaikan menzahirkan satu perasaan yang tidak terungkap.

“Bagaimanapun, saya pasti ia adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh diambil mudah kerana rakyat Indonesia pasti amat mengenali Habibie.

“Jadi tidak salah sekiranya penonton membandingkan Habibie dengan lakonan yang dibawakan saya,” katanya.