Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas Kabali, Rosyam Nor dilamar Kollywood lagi

Sikap positif berlakon watak kecil dalam Kabali ternyata membuahkan hasil lebih besar untuk perjalanan karier Datuk Rosyam Nor.

Rosyam, 49, sekali lagi mendapat tawaran dalam produksi Kollywood bagi filem seram House Next Door.

Menceritakan tawaran itu, Rosyam berkata semuanya bermula selepas dia berjinak-jinak dengan produksi Kabali di Chennai, India.

“Tawaran itu diperoleh sebelum filem Kabali mula ditayangkan buat pertama kali pada 22 Julai lalu di negara ini.

“Watak yang akan dibawakan adalah sebagai seorang yang gemar mengamalkan perkara munafik.

"Penggambaran akan dimulakan pada September depan,” katanya.

Rosyam ditemui pada malam tayangan Kabali dalam versi Bahasa Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Rosyam, turut hadir Datuk Jalaluddin Hassan yang membawakan versi alih suara bagi watak Tony dan Fathia Latiff (Dhansika).

Rosyam berpeluang membawakan watak antagonis Legau di samping bintang India Rajinikanth dan aktor Taiwan Winston Chao (Tony Lee).

Ketika Kabali ditayangkan, kedengaran sudah timbul suara-suara sumbang yang menyuarakan ketidakpuasan hati dengan peranan kecil dilakonkan Rosyam.

Terdahulu bercakap kepada Malaysiakini, Rosyam sebenarnya mengaku dia merendah diri dengan watak yang dipegang, malah dialognya juga kurang.

Bercakap mengenai perkara itu, biarpun sekecil mana karakter itu, Rosyam tidak kisah kerana perkara paling penting adalah pengalamannya bekerja dengan produksi luar.

Malah Rosyam dengan riak wajah yang begitu tenang menjelaskan kritikan yang diterima tidak sedikit pun menjejaskan emosi mahupun pendiriannya.

Rosyam turut mengalu-alukan setiap kritikan selain menganggap individu yang meluahkan pendapat sebagai peminat yang menyokongnya.

“Saya lebih suka apabila ada pihak yang memberi kritikan kerana menganggap mereka adalah peminat yang sayang dan mahu melihat karier ini lebih jauh ke depan.

“Bagi saya, tiada perkara hebat bermula dari besar sebaliknya ia bermula dari kecil-kecilan,” katanya.

Rosyam bagaimanapun positif terhadap 'keresahan' sesetengah peminatnya itu.

“Orang di sini (Malaysia) memang sedia maklum dengan penglibatan saya dalam industri.

“Jadi ada di antara mereka yang mungkin kecewa apabila melihat saya membawakan watak kecil kerana di mata mereka saya kelihatan besar,” katanya.

Lihat Komen
ADS