Saharul ingin rasai 'manis' titik peluh sendiri
Mengingini majlis perkahwinan hasil daripada titik peluh sendiri, pelakon popular Saharul Ridzwan berusaha sedaya upaya menjayakannya tanpa mendapat tajaan pada 16 September ini.
Kata Saharul, 27, keputusan itu diambil semata-mata kerana mahu berdikari dan merasai pengalaman membuat persiapan perkahwinan sama seperti pasangan lain.
Tambahan pula katanya ia adalah majlis sekali seumur hidup.
“Saya mahu merasai sendiri bagaimana kesusahan mengeluarkan duit untuk kerja kahwin dan tidak terlalu bergantung kepada pihak lain.
“Insya-Allah, dengan hidangan yang akan diberi kepada tetamu yang hadir itu saya dapat menikmati pahalanya,” katanya.
Tidak seperti sesetengah artis, Malaysiakini difahamkan, Saharul hanya menerima dua tajaan untuk menjayakan majlis pekahwinannya, iaitu untuk pelamin dan jurugambar.
Semalam pelakon siri televisyen Seindah Takdir Cinta itu mengesahkan bakal mengakhiri zaman bujang bersama wanita pilihan hatinya Qaabila Deena Emir pada 16 September depan.
Menurut kenyataan kepada media, acara akad nikah akan diadakan dalam satu majlis tertutup di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, diikuti resepsi di Dewan Seri Siantan, Putrajaya pada sebelah petang.
Bagaimanapun, Saharul memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantarannya daripada pengetahuan umum kerana mahu ia kekal menjadi hak peribadinya.
Ditanyakan mengenai majlis resepsi khas untuk peminat, Saharul berkata ia akan dilakukan dua hari selepas majlis perkahwinan, namun lokasinya hanya akan diumumkan kemudian.

