Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Anugerah filem terbaik kini terbuka untuk semua

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memutuskan penyertaan bagi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia (FMM) September ini dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian itu turut mewujudkan kategori baru Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada FMM ke-28 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat industri filem dan orang awam.

"Kita sentiasa mendengar keluhan rakyat terutama penggiat filem dan pada masa yang sama kita juga tidak mengabaikan tanggungjawab memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan," kata Salleh dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta Finas supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan pada FMM 2016.

Isu itu timbul berikutan keputusan Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia mewujudkan kategori filem dalam Bahasa Malaysia dan bukan dalam Bahasa Malaysia untuk dipertandingkan pada festival kali ini.

Filem Ola Bola dan Jagat yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik bukan dalam bahasa Malaysia telah menimbulkan bantahan sebilangan penggiat filem tempatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS