Pelawak dan pelakon komedi, Shafiee Jaafar atau lebih mesra dengan panggilan Pie meninggal dunia di rumah anaknya di Teluk Bahang, Balik Pulau kira-kira jam 9 malam tadi.
Berita mengenai kematian beliau disahkan oleh rakan karibnya, Omar M Hashim seperti dilapor portal Kosmo!.
Menurut Omar, beliau dimaklumkan sendiri berita kematian pelawak veteran itu daripada anak Allahyarham menerusi panggilan telefon.
"Anak dia (Pak Pie) beritahu yang bapanya baru meninggal dunia 10 minit tadi dan kini sedang sibuk menguruskan jenazah," beliau dipetik berkata.
Sementara itu Tinjauan Bernama di kediaman rumah anak Allahyarham mendapati orang ramai yang terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan mula memenuhi perkarangan rumah untuk menziarahi jenazah.
Shafiee dilahirkan pada 9 Januari 1931 dan telah bergiat aktif sebagai pelakon dan pengacara sejak tahun 80-an.
Beliau membintangi banyak filem seperti Anak Mami, Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Nana Tanjung.
Semasa hayatnya Allahyarham juga sering muncul dalam rancangan hiburan dan program berbentuk komedi di kaca televisyen.
Pemergiannya merupakan kehilangan besar buat peminat seni tanah air dan juga rakyat Malaysia.
