Jangan main-main sama Shah Rukh Khan.

Beberapa jam selepas 'merungut' di Twitter rasa tidak puas hati pelakon terkenal itu mendapat perhatian duta AS.

Bukan saja permohonan maaf, malah Shah Rukh dijanjikan tidak lagi berdepan dengan masalah sama di AS selepas ini.

Duta AS ke India, Rich Varma, memberitahu Shah Rukh pihak berkuasa negara itu akan memastikan pelakon itu tidak lagi ditahan di lapangan terbang.

"Maaf atas kerumitan di LAX, @iamsrk. Kami sedang mengusahakan supaya ia tidak berlaku lagi. Hasil kerja anda memberi inspirasi kepada jutaan orang, termasuk di AS," kata Varma - juga melalui Twitter.

Varma memberi kenyataan itu sebagai menjawab rungutan Shah Rukh pagi tadi.

Pelakon filem My Name Is Khan itu sudah beberapa kali menghadapi kesukaran di lapangan terbang AS.

Terbaru dia tidak dibenarkan memasuki negara berkenaan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles - atau lebih dikenali dengan nama LAX.

 

 

Bosan dengan layanan begitu Shah Rukh menulis Twitter menyatakan rasa menyampahnya dengan jabatan imigresen dan kastam AS.

Beberapa tahun lalu - ketika dalam misi mahu mempromosi filemnya - Shah Rukh ditanya pelbagai soalan sama seperti orang biasa, manakala bagasinya diselongkar.

 

 

Tindakan itu dibuat apabila namanya ada dalam senarai orang yang perlu diawasi pihak berkuasa AS.

Sementara itu Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS (Asia Selatan dan Asia Tengah), Nisha Bawal turut tertarik dengan tweet Shah Rukh pagi tadi.

Bagaimanapun Nisha mengingatkan ia bukanlah aneh kerana diplomat juga tidak terkecuali daripada pemeriksaan tambahan di lapangan terbang.

"Maaf atas kekalutan di lapangan terbang, @iamsrk - Diplomat AS pun kadang-kadang dipilih untuk pemeriksaan tambahan!" katanya.

Shah Rukh kemudian membalas tweet Nisha itu.

"Tiada kalut, puan. Hormati protokol, tak mengharapkan terkecuali daripadanya. (Saya) hargai perhatian anda, ia juga menyukarkan," katanya.