Selena, Bieber berseteru di media sosial
Nampak gaya ‘perang’ antara penyanyi Justin Bieber dengan Selena Gomez masih belum berakhir walaupun hubungan mereka sudah lama berakhir.
Selena dikatakan berbalas-balas mesej dengan Bieber di Instagram selepas peminat mengecam beberapa siri gambar dimuat naik bekas kekasihnya itu bersama teman wanita terbarunya - anak Lionel Richie, Sofia, 17.
Ekoran tidak tahan dikritik lantang oleh peminat, Bieber akhirnya mengancam untuk mengehadkan akaunnya sebagai ‘menghukum’ tindakan mereka.
“Saya akan menjadikan akaun Instagram saya terhad sekiranya kamu semua tidak hentikan kecaman dan perkara ini sudah keterlaluan.
“Sekiranya anda adalah peminat sejati, anda tidak akan bertindak kejam terhadap orang yang saya suka,” tulisnya.
Status Bieber itu kemudian dibalas oleh Selena.
“Sekiranya kamu tidak boleh menahan kritikan, hentikan memuat naik gambar bersama kekasih, LOL - lagi pula, ia sepatutnya menjadi sesuatu yang istimewa hanya antara kamu berdua.
“Jangan marahkan peminat. Mereka menyayangi dan menyokong kamu,” tulisnya.
Bieber kemudian menjawab kenyataan Selena dengan berkata: “Alangkah lucunya melihat seseorang yang menggunakan nama saya untuk menarik perhatian.
“Dia masih cuba menyalahkan orang lain dengan cara begini. Sungguh sedih. All Love,” ujarnya.
Bieber sejak kebelakangan ini sering tampil dengan pelbagai kontroversi khususnya membabitkan cara dia melayan peminat.
Penyanyi Love Yourself itu pernah memberitahu secara terbuka enggan melayan kerenah bodoh peminat ketika mengadakan persembahan.
Dia juga pernah menolak permintaan peminat yang ingin memeluknya selain pernah membatalkan majlis bertemu peminat dengan menggelarkan mereka sebagai "menyedihkan."

