Depp, isteri mahu selesai masalah secara tertutup
Kemelut rumahtangga pelakon Hollywood Johnny Depp dan Amber Heard akhirnya ke penghujung apabila kedua-dua selebriti itu bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara peribadi.
Peguam berkata Amber menarik balik permohonan melanjutkan larangan ke atas Depp daripada menghampirinya.
CNN melaporkan kedua-dua pihak kemudian bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara tertutup.
Sehubungan itu, pasangan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung kemelut rumahtangga mereka.
“Hubungan kami tetap intim namun ada kalanya tidak menentu, namun ia tetap terikat oleh cinta.
“Tiada pihak yang membuat tuduhan palsu demi mendapatkan keuntungan kewangan malah tiada sebarang cubaan terhadap penderaan fizikal mahupun emosi,” menurut kenyataan itu.
Pasangan itu mula menjalin cinta lokasi di set penggambaran filem The Rum Diary pada 2009 namun kemudian sering berseteru hingga Amber memfailkan perceraian pada 23 Mei lalu.
Dua hari sebelum memfailkan perceraian, Amber mendakwa Depp melakukan keganasan rumahtangga dan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah sekatan sementara ke atas pelakon Pirates of the Carrabbean itu.
Amber mendakwa Depp membaling telefon ke arahnya hingga menyebabkan bengkak.
Depp bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit dan menerusi wakilnya mendakwa Amber hanya mereka-reka cerita.
Pada 27 Mei lalu, hakim meluluskan perintah sekatan sementara ke atas Depp.
“Sepanjang perkahwinan kami, Depp melakukan penderaan ke atas saya secara verbal dan fizikal,” lapor kenyataan mahkamah dibuat Amber.
Namun, sebagai membalas kenyataan Amber, Depp mendakwa isterinya itu bertindak demikian bagi melindungi perjanjian praperkahwinan mereka bagi isu kewangan.

