Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas menang, Nabila tetap tak buru wang
Diterbitkan:  Sep 5, 2016 10:40 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Meraih kemenangan pertama seumpamanya selepas empat kali tercalon dalam acara Festival Filem Malaysia (FFM) menjadi hadiah paling berharga bagi pelakon Nabila Huda buat bapanya, vokalis kumpulan Search, Amy.

Sambil tersenyum puas, Nabila 31, berkata segala usaha dicurahkan selama 15 tahun bergiat dalam industri adalah demi memastikan dia menjadi seorang anak yang boleh dibanggakan.

Aktres yang mesra disapa Abil itu membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Munafik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-28, yang diadakan pada Sabtu lalu.

“Setiap titik peluh yang saya korbankan hingga tidak cukup tidur semasa bekerja dalam produksi Munafik amat berbaloi.

“Pencapaian ini tidak lain tidak bukan adalah untuk membuatkan bapa tersenyum lebar selain berbangga dengan kejayaan saya,” katanya yang ditemui selepas acara FFM28 berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tidak mahu lagi menoleh ke belakang dengan konflik bapa dan anak yang pernah terpalit, Nabila berkata sikapnya kini tidak lagi seperti dahulu.

Katanya, perubahan yang dirasakan ketara itu bergerak seiring dengan usia yang semakin meningkat apatah lagi selepas mendirikan rumahtangga buat kali kedua dengan pengusaha restoran Mohd Izwan Johar, 32.

“Saya bukan sering menimbulkan kontroversi, cuma masyarakat sering kaitkan diri ini sebegitu.

“Tetapi saya akui, selama ini kehidupan saya dibayangi dengan sifat tidak matang kerana pada masa itu usia masih remaja dan kurang memikirkan impak kepada keluarga, khususnya perasaan bapa,” katanya.

Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani pada 2008 namun berpisah tiga tahun selepas itu. Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan seorang anak Keisha Laila.

Nabila pernah tercalon sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) pada FFM ke-22.

Anak sulung Amy itu juga pernah dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Akhirat (2008) untuk FFM ke-21 dan Jalan Kembali: Bohsia 2 (2013) untuk FFM ke-25.

Bintang yang pernah memenangi Anugerah Skrin menerusi drama Akulah Balqis (2014) itu berkata, dia sebenarnya tidak memasang harapan tinggi untuk memenangi kategori pada kali ini memandangkan persaingan yang datang dari pencalonan lain dirasakan sengit.

“Memang ini boleh dianggap klise tetapi memang itulah yang realiti, pengalaman pelakon lain seperti Maya Karin tidak kurang hebatnya.

“Walaupun sudah 16 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, saya lebih banyak melakonkan drama dan kurang diberi peluang untuk membintangi filem.

“Saya berharap dengan kemenangan dalam Festival Filem Malaysia, bakat saya lebih diiktiraf oleh penerbit dan pengarah filem di luar sana sekaligus mendapat lebih banyak peluang berlakon selepas ini,” katanya.

Selain itu, kata Nabila, kemenangan berkenaan tidak akan membuatkan kadar bayarannya sebagai pelakon berubah.

Paling diutamakan adalah kualiti skrip dan bukan kekayaan.

“Saya lebih percaya kepada hasil penulisan skrip yang bagus berbanding bersandarkan kepada wang untuk cepat kaya.

"Jangan letak harga tinggi sedangkan bakat tidak seberapa," katanya.

Lihat Komen
ADS