Pelukis P Pinang hasilkan komik mamak pertama
Suka melakar dan melukis - ini yang paling diminati Azmi Hussain, 32, sedari kecil.
Anak bongsu daripada tiga beradik ini tahu impiannya untuk menjadi pelukis komik banyak cabarannya.
Namun kejayaan pelukis kartun tersohor Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid yang juga terkenal dengan nama Lat memberi beliau inspirasi untuk meneruskan cita-citanya.
Beliau yang amat bangga dengan keturunannya sebagai India Muslim mahu menghasilkan komik yang dapat memberi impak kepada masyarakat.
"Misi saya adalah untuk menghasilkan komik yang membolehkan masyarakat memahami kehidupan serta kebudayaan masyarakat India Muslim.
"Pada masa sama saya mahu menyediakan bahan yang berlainan supaya orang ramai boleh berasa terhibur membaca komik ini," katanya.
Sepanjang enam tahun berkecimpung sebagai pelukis, anak kelahiran Pulau Pinang ini telah menghasilkan dua buah komik mengenai masyarakatnya.
Bermula dengan Tanjung Life dan kemudian Little Mamak, beliau berjaya mencipta nama dalam dunia penerbitan komik.
Kedua-dua komik ini boleh dibeli di seluruh negara dijual di kedai-kedai buku terkemuka termasuk MPH.
Lebih daripada 3,500 naskhah komik berharga RM35 setiap telah dijual. Jualan komik ini begitu memberangsangkan dan kebanyakan pembeli adalah orang asing.
Hargai sokongan keluarga
Komik Little Mamak adalah komik pertama dihasilkan di Malaysia mengisahkah kehidupan masyarakat India Muslim yang lebih dikenali sebagai "mamak".
Antara yang menjadi paparan komik ini ialah sejarah masyarakat India Muslim, kehidupan harian serta tanggapan orang ramai tentang mereka.
Sebelum menjadi pelukis komik, Azmi melakukan beberapa pekerjaan lain dan beliau terhutang budi pada ibu, isteri dan anaknya.
"Saya tahu kehidupan sebagai artis bukannya mudah tetapi keluarga saya tetap menyokong saya. Selepas tamat sekolah, saya pernah bekerja di kedai kopi sebelum membuat keputusan mengambil kursus reka bentuk grafik.
"Saya tidak akan beroleh kejayaan ini tanpa sokongan keluarga saya. Hidup kami pada satu ketika memang susah tetapi semua kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil," kata Azmi sambil menambah beliau amat menghargai pengorbanan isterinya yang tetap setia bersama beliau dalam apa juga keadaan.
Azmi yang mempunyai tiga cahaya mata berkata anak keduanya nampak berminat dalam bidang lukisan.
Menurut Azmi, beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan komik tersebut kerana ramai orang yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang masyarakat India Muslim.
Beliau mahu memberi penjelasan menerusi cara yang mudah iaitu komik.
Sebut "mamak", perkara pertama yang orang akan fikirkan ialah pengurup wang dan pengusaha restoran.
Sebenarnya yang digelar "mamak" ini mempunyai banyak sumbangan lain.
"Sebab itulah saya menghasilkan komik ini yang berkisar mengenai kehidupan saya termasuk zaman kanak-kanak untuk memudahkan orang membaca.
"Saya juga mahu orang yang membaca komik ini terhibur dengan kisah yang saya paparkan dan orang yang membacanya juga terkesan dengan apa yang saya sampaikan," katanya.
Selepas menghasilkan dua komik, Azmi kini mahu memperluaskan lagi kemahirannya dalam bidang seni.
Beliau sedang mempelajari teknik melukis watak kartun menggunakan serbuk kopi.
"Saya masih belajar dan setakat ini ia satu pengalaman yang menarik. Saya berharap suatu hari nanti saya dapat mengadakan pameran untuk memaparkan kerja-kerja saya," katanya.
- Bernama

