Cowok Malaysia memang menarik di mata Jupe
Ada sesuatu mengenai jejaka Malaysia yang membuatkan selebriti kontroversi Indonesia Julia Perez tertarik hati.
Aktres mesra disapa Jupe, 36, itu berkata pemuda yang berasal dari negara ini dianggap sebagai satu "cabaran".
"Cowok (lelaki) Malaysia yang pernah dikenali hampir semuanya memiliki perwatakan dan penampilan menarik.
"Apabila berbual dengan mereka dilihat begitu bijak menuturkan kata-kata dan ia dianggap sebagai cabaran besar buat saya," katanya.
Penyanyi dangdut itu atau nama asalnya Yuli Rachmawati ditemui ketika malam tayangan perdana Kalam Kalam Langit yang diadakan kelmarin di Kuala Lumpur.
Kehadiran Julia pada malam berkenaan adalah sebagai menyokong langkah promosi filem itu yang mengangkat nilai-nilai Islam.
Perkara diutamakan Julia adalah sikap baik hati yang dipamerkan oleh seseorang pemuda.
Dan untuk itu, Julia tidak kisah sekiranya jodohnya satu hari nanti ditakdirkan dengan pemuda dari negara ini.
Masih jalani rawatan kanser
Pun begitu, Julia yang kini berstatus bujang - pernah menghidap kanser serviks - berasakan masih terlalu awal untuknya kembali bercinta.
Dia sebelum ini pernah berkahwin dengan pemain bola sepak Argentina Gaston Castano pada 2013.
Tetapi pasangan itu akhirnya dilaporkan media bercerai pada awal tahun ini atas dakwaan bekas suaminya berlaku curang.
Pasangan itu mula dikatakan membuat kemunculan bersama di khalayak pada 2009.
Hingga kini Julia mengakui dia masih kecewa mengenangkan sikap Gaston.
Khusus buat Gaston, Julia pernah menghasilkan sebuah lagu berjudul “Gak Jaman”.
Lirik lagu berkenaan lebih menggambarkan perasaan Julia yang kini seakan sudah melupakan cinta Gaston yang pernah singgah di hati.
"Dia (bekas suami) ada cuba mendekati namun buat masa ini saya yang tidak membenarkan sebarang hubungan kembali bertaut.
"Ketika masih menjalani rawatan sakit kanser serviks saya terpaksa berhadapan dengan emosi bersendirian sedangkan Gaston bersama wanita lain.
"Pada masa sama saya juga bermurung kerana kehilangan papa.
"Keperitan ketika itu dirasakan lebih sakit dari kanser yang dialami dan perkara itu membuatkan saya tidak lagi mahu memberikan peluang kepadanya," katanya.

