Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bekas penyampai radio Fara Fauzana masih berahsia dan enggan mendedahkan jawapan sebenar apa yang menjadi punca pembatalan perkahwinannya dengan seorang pemuda dikaitkan sebuah parti politik.

Walaupun diasak dengan soalan bertubi-tubi selama kira-kira dua minit, Fara, 36, hanya menjawab tanda tanya itu dengan jawapan sama - tersenyum.

"Semua jawapan sudah saya berikan mengikut kenyataan WhatsApp diberi kepada media.

"Semua yang terjadi adalah ketentuan Allah.

"Terima kasih kerana beri sokongan," katanya di luar Dewan Serbaguna IM4U di Puchong, Selangor hari ini.

Fara melawat stesen radio berkenaan untuk berkongsi pengalamannya sebagai pengacara dan juruhebah sempena sambutan ulang tahun kedua 1M4U fm.

Seramai 400 peserta terdiri daripada penuntut universiti tempatan menghadiri persidangan radio dan bengkel interaktif dianjurkan stesen berkenaan.

Empat hari lalu Malaysiakini menyiarkan kenyataan Fara Fauzana yang mengumumkan pembatalan pernikahan yang sepatutnya berlangsung 17 September ini.

Pengumuman itu dibuat melalui sidang media Fara pada 1 Ogos lalu.

Berita tergempar 13 hari menjelang tarikh dia menamatkan zaman bujang itu mengundang pelbagai reaksi dan juga spekulasi ramai.

Jadi di luar kawalan

Namun, Fara ketika itu mengambil pendirian untuk mendiamkan diri dari menjelaskan sebab-sebab keputusan berkenaan dibuat.

"Dengan penuh dukacita saya mengumumkan pembatalan majlis pernikahan pada 17 September depan," katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Pada sidang media 1 Ogos, Fara mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama pemuda bernama Mohamed Hafiz Badiuzzaman.

Sebuah akhbar kemudian melaporkan Hafiz adalah suami orang dan status itu menjadi penyebab pembatalan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun semalam Hafiz mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan nama dan reputasinya yang dianggap tercemar berikutan spekulasi yang tercetus.

"Saya tidak pernah merahsiakan status perkahwinan mahupun pernah berkahwin dengan sesiapa," katanya.

Apabila diajukan soalan bahawa Hafiz tidak tahu sebarang keputusan dibuat mengenai pembatalan itu, Fara masih mengulangi jawapan sama.

Sementara itu, selepas tidak memberikan sebarang jawapan memuaskan, Fara ditanya sekali lagi jika tindakannya mengunci mulut itu hanya akan mendatangkan kesan negatif kepadanya.

"Jika terjadi (begitu) ia di luar kawalan saya," katanya dengan tenang.

Keputusan pembatalan Fara sebelum ini dikatakan dibuat tanpa atau persetujuan Hafiz.

Dan masih, Fara tidak mengeyakan atau menafikan pertanyaan tersebut.

"Terima kasih kepada semua yang beri sokongan.

"Doakan yang terbaik bukan saja untuk diri saya tetapi semua," katanya beredar.

Lihat Komen
ADS