Apabila bercerita mengenai Lombok, pasti terbayang di fikiran adalah budaya pemuda melarikan anak gadis untuk dikahwini.

Namun, Lombok bukan sekadar mengenai cerita budayanya yang unik itu, malah ia sebenarnya menyimpan seribu khazanah dengan keindahan pulau dan pantainya yang indah.

Tidak menghairankan apabila pelakon filem Kalam Kalam Langit, begitu teruja apabila bercerita mengenainya.

Malah Elyzia Mulachela berasa bangga apabila filem terbaru lakonannya itu turut menonjolkan sisi keindahan Lombok sebagai sebuah pusat pelancongan yang digelar 'Pulau Seribu Masjid'.

“Lombok bukan semata-mata tempat untuk melihat pantai dan pemandangan, tetapi ia turut menjadi pusat pelancongan Islamik kerana terdapat begitu banyak masjid.

“Mata tidak akan terlepas pandang setiap masjid yang berada dalam jarak tidak sampai beberapa kilometer.

“Atas sebab itulah Lombok diberi jolokan Pulau Seribu Masjid,” katanya kepada Malaysiakini.

Meskipun dilahirkan di Jakarta, Elyzia sendiri membesar di Lombok dan kerana itu kawasan tersebut sentiasa dekat di hatinya.

Elyzia, 20, ditemui pada malam tayangan perdana Kalam Kalam Langit yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berlatarkan Lombok, filem arahan Tarmizi Abka dan ditulis Faozan Rizan itu mengisahkan perjuangan pemuda bernama Jafar, lakonan Dimas Seto, seorang pelajar tahfiz yang bergelut antara cita-cita dan cinta.

Jafar yang bersekolah pondok juga perlu menempuh pelbagai cabaran sebagai penghuni sekolah berkenaan, sebelum boleh bergelar juara Musabaqah Tilawatil Quran (MTQ) nasional di Lombok.

Barisan pelakon yang turut menjayakan Kalam Kalam Langit adalah Mathias Muchus, Henidar Amroe, Ibnu Jamil dan Meriza Febriany.

Simpan hasrat ke Batu Caves

Bercakap mengenai lokasi menarik untuk dikunjungi di Malaysia, Elyzia menyimpan hajat untuk menjejakkan kaki ke Batu Caves suatu hari nanti.

Menurutnya, biarpun berbeza agama, tapak kuil yang dipandang mulia oleh penganut Hindu tempatan dan luar negara itu dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri.

Senarai tempat menarik untuk dilawati tidak akan lengkap selagi belum berkunjung ke ikon popular di Selangor itu, katanya.

“Saya teringin sangat-sangat melawat bukit batu kapur (Batu Caves) yang mempunyai lebih 200 anak tangga apabila berkesempatan bercuti di negara ini lain kali.

“Kehadiran ke negara ini adalah kali kedua selepas 2013, juga sebagai mempromosi filem dilakonkan.

"Bagaimanapun, ketika itu saya tidak berkesempatan untuk melawat mana-mana pusat pelancongan kerana sibuk bekerja dan hanya berpeluang berjalan-jalan di kompleks beli-belah saja,” katanya.