Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Raja Afiq tak mahu lagi jadi 'ustaz'
Diterbitkan:  Sep 19, 2016 1:04 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Menjadi satu-satunya anak lelaki dalam keluarga membuatkan pelakon drama Sayangku Kapten Mukriz, Raja Afiq meletakkan tanggungjawab menjaga ibu sebagai keutamaan.

Sejak mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga, Raja Afiq benar-benar berasakan seorang anak lelaki sepertinya harus berbakti kepada orang tua tanpa sedikit pun perasaan jemu.

“Sejak perpisahan kedua orang tua, saya memainkan peranan penting dalam keluarga untuk menjaga ibu.

“Saya anak bongsu masih bujang dalam adik-beradik yang kesemuanya perempuan dan sudah pun berkahwin.

“Justeru, kebajikan kepada ibu harus saya dahulukan lebih dari apa pun,” katanya.

Raja Afiq ditemui pada majlis pelancaran pusat kecantikan Naarabelle Facespa di Setapak Central baru-baru ini.

Berbanding remaja lain yang gemar mencari pengalaman tinggal berasingan daripada keluarga, Raja Afiq atau dilahirkan dengan nama asal Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, memilih untuk menetap sebumbung bersama ibunya.

Katanya, kerana benar-benar sayangkan ibu Fauziah Hamzah, 59, segala aspek keperluan wanita itu harus berada di bawah jagaan dan perhatiannya sentiasa.

Selain komited memberi sepenuh perhatian kepada wanita yang melahirkannya itu, Raja Afiq juga adalah seorang yang begitu mementingkan karier.

Untuk itu, Raja Afiq yang masih baru bertapak dalam industri nekad mahu tampil mantap dan memberikan saingan dalam bidang lakonan.

Katanya, hal itu lebih wajar berbanding disensasikan dengan perkara tidak berfaedah yang hanya boleh merosakkan reputasi dan kredibilitinya sebagai pelakon.

Cinta berakhir di tengah jalan

Baru-baru ini pula, hubungan cinta bersama kekasih yang juga pelakon Anis Al-Idrus dispekulasi sudah berakhir di tengah jalan.

Namun, beranggapan ia cuma dakwaan tidak berasas, pelakon yang mendapat julukan Ustaz Mukhriz di kalangan peminat itu berasakan lebih senang sekiranya dirinya disibukkan dengan hal berkaitan kerjaya.

Bagi Raja Afiq, kini sudah tiba masanya untuk dia diberi kepercayaan membawakan sisi watak yang pelbagai dan tidak terikat dengan karakter protagonis.

“Dahulu orang kurang mengenali saya kerana waktu itu hanya membawa peranan sebagai pelakon pembantu.

“Sekarang sudah dapat tawaran sebagai hero dan sebolehnya saya mahu memberi fokus tinggi kepada tahap lakonan dan tidak mahu umum memandang perkara selain itu.

“Kalau boleh saya tidak lagi mahu dikaitkan dengan watak ustaz atau yang jenis baik-baik, bukan tidak suka cuma mahu mencuba sisi karektor yang pelbagai selain diberi kepercayaan membawa watak antagonis,” katanya yang pernah memegang watak Arif dalam drama Hello Mr Perfect.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS